Monday, November 18, 2013

‘Cakap pandailah!’

Kuala Lumpur: “Suruh dia mainlah”. Itu antara kandungan kata-kata penyerang negara Safee Sali kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Seri Zolkples Embong yang tersebar secara meluas di laman sosial semalam.

Ia reaksi Safee kepada komen Zolkples selepas kekalahan 0-1 Harimau Malaya di tangan Bahrain minggu lalu dengan tugas semakin sukar buat ketua jurulatih Datuk K Rajagobal memenuhi Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dirinya iaitu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Zolkples dilaporkan berkata, sejak awal lagi tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada skuad negara yang terpaksa beraksi di tempat lawan dan ia bukan satu tugas yang mudah.

Bagaimanapun, Safee menerusi laman sosial dilaporkan memberikan reaksi balas berhubung kenyataan itu dengan antara lainnya berbunyi, “Suruh dia main lah...cakap pandai.. nanti balas komen dia cakap pemain tidak terima pendapat... orang macam inilah yang rosakkan sukan... hanya pandai kritik... buat kerja tidak mahu.” Penyerang berusia 29 tahun itu jelas hilang sabar dengan situasi itu selepas skuad negara memberikan aksi terbaik untuk cuba meraih mata pada perlawanan itu dan akan berdepan Qatar malam esok.

“Adalah tidak adil buat skuad negara yang sering kali tidak mendapat sokongan moral semua pihak. Bagi saya sepatutnya perkara ini berlaku sebaliknya ketika kami bakal tampil dalam perlawanan penting menentang Qatar.

“Kami bermain mati-matian untuk negara. Tiada siapa yang mahu kalah,” katanya yang tampil sebagai pemain gantian ketika aksi di Manama, Jumaat lalu.

Pertemuan menentang Qatar malam esok dilihat sebagai penentu nasib skuad negara dengan hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang untuk mara ke Australia.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment