Monday, November 11, 2013

Cadangan Velodrom Latihan Dikemuka Kepada Kementerian Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Cadangan pembinaan velodrom latihan di Kuala Lumpur sudah dikemuka kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk pertimbangan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Kita harap permohonan yang turut disusuli dengan surat rasmi itu akan diluluskan secepat mungkin bagi membolehkan para atlet menjalani latihan berbasikal," katanya.

Khairy berkata beliau telahpun berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung perkara itu serta memaklumkan bahawa Kuala Lumpur tidak memerlukan Velodrom Kelas Satu, yang menelan kos pembinaan tinggi.

Beliau berkata Velodrom Kelas Satu hanya akan dibangunkan di Nilai, Negeri Sembilan dan kos pembinaannya dilaporkan bernilai RM80 juta.

"Cuma apa yang perlu sekarang ialah gantikan velodrom yang ada di Cheras dengan satu velodram latihan," katanya sambil menambah Velodrom Kuala Lumpur, Cheras hanya akan diroboh apabila velodrom latihan siap dibina.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan Sukan Media-Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil Ahad.

Sukan Media-MSN, yang bermula hari ini dan berakhir Ahad depan, bertujuan mengeratkan hubungan antara pihak media dan organisasi sukan tanah air.

Velodrom Kuala Lumpur adalah venue bagi acara berbasikal trek pada kejohanan bersejarah Sukan Komanwel 1998 dan ia akan diroboh bagi tujuan komersil.

Khairy berkata pembinaan velodrom latihan itu penting dalam usaha pelumba negara melayakkan diri ke Siri Piala Dunia Klasik, Kejohanan Berbasikal Asia, Sukan Asia, Komanwel dan Kejohanan Dunia.

Beliau berkata Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak akan dinaik taraf serta dibaik pulih jika velodrom latihan dan Velodrom Kelas Satu tidak dapat disiapkan dalam masa dua tahun sebagai langkah untuk tidak menjejaskan latihan pelumba.

Dalam perkembangan lain, mengulas jumlah acara sukan yang akan dipertanding pada Sukan SEA 2017 selepas Malaysia bersetuju menjadi tuan rumah buat kali keempat temasya dwi-tahunan berkenaan, Khairy berkata MSN akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung perkara itu.

"Kita punya prinsip adalah sukan yang dipertandingkan ini adalah acara yang dipertanding di peringkat Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan Olimpik," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment