Thursday, November 28, 2013

Bola Sepak: Annuar Dakwa Kontrak Mohd Nazri Bersama Kelantan Sah

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mendakwa status seseorang pemain bersama pasukan lain hanya sah selepas pemain berkenaan menandatangani kontrak yang lengkap selain menurunkan tandatangan di setiap muka surat bersama pasukan yang ingin diwakilinya.

Mengambil contoh Kafa, Annuar berkata pihaknya sudah mengalami perkara berkenaan sebanyak beberapa kali dan peraturan berkenaan adalah jelas.

"MoU (Memorandum Persefahaman) atas menurun tandatangan atas sehelai kertas tidak diterima pakai... yang terpenting akhirnya pemain itu sendiri berhak memilih dengan pasukan mana mereka memilih untuk beraksi.

"Dalam kes ini amatlah jelas (Mohd) Nazri Ahmad, (Mohd) Nazrin Nawi, Norfarhan (Muhammad), Hai-O (Hairuddin Omar) dan lain-lain akan beraksi dengan pasukan pilihan masing masing," katanya menerusi laman facebook beliau, Rabu.

Annuar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor Datuk Abdul Mokhtar Ahmad yang disiarkan media hari ini, dengan mendakwa bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Nazri Ahmad sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk menyertai skuad Gergasi Merah bermula musim depan.

Mohd Nazri yang beraksi di posisi pertahanan merupakan antara lapan pemain baharu Kelantan yang diperkenalkan Annuar pada satu majlis pengenalan skuad The Red Warriors, semalam untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2014.

Penyerang JDT, Mohd Safee Sali sebelum ini dilaporkan menarik balik semula keputusannya untuk menyertai Selangor, musim depan walaupun dikatakan sudah mendapat bayaran pendahuluan daripada FAS.

Insiden itu bagaimanapun dikatakan selesai memandangkan pengurusan JDT bersetuju untuk membuat bayaran pampasan kepada FAS.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment