Thursday, November 28, 2013

'Beban makin berat'




PENGENDALI skuad hoki remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, merasakan sasaran diletakkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada anak buahnya bagi meraih kedudukan enam pasukan terbaik pada pusingan akhir Piala Dunia Remaja di India bermula 6 hingga 15 Disember ini sebagai satu cabaran.

Hadir dengan status Juara Remaja Asia tahun lalu, tidak memberi kelebihan kepada anak didiknya dalam menghadapi saingan  yang dijangka lebih sengit.

“Pada edisi Piala Dunia Remaja 2009 di Johor Bharu sebelum ini, kita hanya mampu meraih tempat ke-12 walaupun bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Kini kita bakal beraksi di India, jadi saya melihat peluang pasukan muda negara meraih tempat ke enam terbaik agak sukar. Kita perlu menggandakan usaha sebelum kejohanan itu berlangsung.

“Saya masih mempunyai masa menyediakan barisan terbaik dan perlawanan persahabatan menentang Jerman pada 3 Disember ini adalah kesempatan terakhir memantapkan pasukan,” katanya di majlis penyerahan tajaan dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kepada MHF di ibu negara semalam.

Hadir sama Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad.

Menurutnya, beliau optimis barisan muda kendaliannya mampu membuat kejutan pada edisi Piala Dunia kali ini berdasarkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Saya jangka pasukan New Zealand sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan kita. England dan Afrika Selatan juga kuat, jadi saya akan ambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Yang penting dalam peringkat kumpulan, saya mahukan pasukan saya mampu mara ke suku akhir.

“Buat masa ini, semua pemain dalam keadaan baik cuma Izad Hakimi dan Azri Hassan sahaja cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, pasukan hoki remaja kebangsaan menerima suntikan semangat  apabila Felda menaja sumbangan RM500,000. Penajaan itu kerjasama MHC dan Felda Global Ventures (FGV) menyaksikan tajaan jersi, makanan tenaga tambahan dan nutrisi sepanjang latihan dan aksi Piala Dunia Remaja.



MOHD FIRDAUS HASHIM - Sukan, SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment