Tuesday, November 26, 2013

Annuar Musa Rela Undur Diri Jika FAM Enggan Beri Kerjasama Kepada Menteri

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini dalam tempoh penggantungan, Tan Sri Annuar Musa, menyatakan kesediaan untuk berundur daripada Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara sekiranya penglibatan beliau menyebabkan FAM enggan berkerjasama dengan jawatankuasa tesebut.

Katanya penglibatan organisasi adalah lebih penting daripada individu dan beliau sangggup mengambil keputusan itu kerana ingin melihat perubahan positif pada sukan bola sepak negara.

"Jika pelantikan saya menyebabkan FAM tidak mahu kerjasama dengan jawatankuasa ini adalah lebih baik sekiranya saya berundur.

"Apa yang lebih penting ialah menteri perlu diberi sokongan oleh persatuan dan mereka yang berkepentingan dalam bola sepak negara," katanya selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa tersebut di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Isnin.

Sebelum ini pelantikan Annuar dalam jawatankuasa itu dipersoal FAM berikutan beliau masih dalam tempoh penggantungan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak oleh badan induk itu.

Annuar digantung selama dua tahun setengah bermula April tahun lepas kerana melanggar Artikel 88 Statut 2010-2014 FAM apabila mengeluarkan kenyataan berunsur negatif terhadap skuad Harimau Malaya.

Menurut artikel berkenaan hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan media.

Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu berkata pembabitan kerajaan dalam membantu pembangunan bola sepak amat diperlukan kerana badan induk persatuan sukan tidak mampu melakukan semua kerja tanpa bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

"Dalam pembangunan peringkat akar umbi, tiada persatuan induk dalam dunia ini yang mampu melakukannya secara sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan.

"Saya tahu perkara ini sebab saya pernah menjadi menteri, berada dalam persatuan dan juga mengendalikan pasukan," katanya.

Annuar, bagaimanapun, menambah lantikan dalam jawatankuasa tersebut dilakukan atas budi bicara menteri dan tiada kena-mengena dengan penggantungan.

Katanya pelantikan itu adalah sahih dan tidak akan menimbulkan apa-apa masalah.

"Saya dilantik menteri dalam jawatankuasa ini atas tiket Ahli Parlimen Ketereh dan bukannya sebagai timbalan presiden FAM dan penasihat KAFA.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment