Thursday, November 28, 2013

Ahmad Said kecewa



MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) kecewa dengan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengetepikan Terengganu sebagai penganjur beberapa acara sukan utama khususnya lumba basikal ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.
Beliau berkata, kementerian berkenaan tidak sepatutnya mengambil keputusan terburu-buru sehingga mengecewakan harapan Terengganu.

“Terengganu memang diketahui mempunyai ramai atlet mewakili negara. Bahkan, ketika ini terdapat seramai 65 atlet kelahiran Terengganu yang bakal beraksi mewakili Malaysia dalam pelbagai acara sukan khususnya lumba basikal dan kenu.

“Kadang-kadang, dia orang (KBS) buat keputusan tergesa-gesa dan terburu-buru. Sedangkan Terengganu berjaya melahirkan ramai atlet khususnya dalam lumba basikal, kenu dan sukan lain. Sepatutnya KBS pertimbangkan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad mengulas keputusan kementerian berkenaan yang memberikan hak penganjuran beberapa acara sukan kepada negeri lain iaitu Negeri Sembilan dan Johor pada Sukan SEA 2017 yang menyaksikan Malaysia bakal menjadi tuan rumah.

Ahmad juga memutuskan bahawa Terengganu akan menarik diri daripada sebarang penganjuran peringkat akhir Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

“Kita benar-benar kecewa, jadi kita akan tarik diri menjadi tuan rumah LTdL. Kita tak akan sediakan tajaan. Tahun lepas kita taja RM2 juta, maknanya tiada lagi penajaan sebanyak itu untuk tahun ini.
“Kita berlembut dengan orang kalau orang berlembut dengan kita, tapi kalau orang dah tak hirau, begitu juga kita,” katanya.

Beliau turut terkilan dengan tindakan KBS yang seolah-olah tidak menghargai sumbangan Terengganu melahirkan ramai atlet yang telah mengharumkan nama negara.

Mengenai penganjuran Piala Monsun pula, beliau berkata, terserah kepada pihak penganjur untuk meneruskan kejohanan itu di Terengganu atau negeri lain.
“Terengganu mempunyai kemudahan dan kelengkapan mencukupi bagi menganjurkan kejohanan itu pada masa akan datang.

“Terpulang pada penganjur, kita ada kemudahan yang cukup untuk menganjurkannya, kalau buat di tempat lain, perlu ada kemudahan lain,” ujarnya.



Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2ltzlZBB5

No comments:

Post a Comment