Thursday, November 21, 2013

Ada kemajuan tapi tak cukup

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) mengakui masih ada kemajuan daripada segi persembahan skuad Harimau Malaya kelmarin, namun sesebuah perlawanan bola sepak tidak boleh dimenangi selagi tanpa jaringan gol.

Katanya, sehebat atau segah mana pun barisan bimbingan Datuk K. Rajagobal menguasai perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 dengan Qatar itu, hakikatnya mereka telah gagal mencapai misi meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam.

''Dalam bola sepak, jika anda tidak menjaringkan gol, maka pasukan itu tidak akan menang.
"Saya rasa ramai yang sudah menonton perlawanan itu dan telah maklum. Kalau boleh saya pun tidak mahu mengeruhkan keadaan lagi kerana MSN masih mahu bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dalam pembangunan sukan itu.

"Walaupun ada banyak perubahan (prestasi skuad negara) dan beberapa kali mereka mencemaskan pintu gol Qatar, kesemuanya masih tidak menjamin kemenangan.
"Kadangkala anda juga perlukan tuah walaupun kita tidak boleh terlalu bergantung kepadanya," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Zolkples, tuah terbukti memainkan peranan ketika skuad bawah 23 tahun juga bimbingan Rajagobal dan memiliki beberapa tonggak Harimau Malaya sekarang, mengakhiri kemarau pingat emas Sukan SEA selama 20 tahun di Laos 2009.

"Anda tentu ingat bagaimana kita dikalahkan Vietnam (3-1) malah kita diserang Thailand bertubi-tubi sebelum masih menang emas Sukan SEA dengan gol sendiri Vietnam (1-0)," katanya tanpa menjelaskan keinginannya untuk melihat sama ada tuah mampu kembali mengiringi Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia di Australia 2015.

Tuah juga dikatakan banyak mempengaruhi Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 buat kali pertamanya biarpun ramai pemerhati tanah air mulai meragui kemampuan skuad Rajagobal sebaik sahaja dibelasah Indonesia 5-1 pada peringkat Kumpulan A.

Jika masih ingin ke Australia, Harimau Malaya perlu memenangi perlawanan terakhir dengan Yemen di tempat lawan, 5 Mac tahun depan sambil berharapkan tuah daripada pencapaian empat pasukan tempat ketiga A, B, C dan E agar lebih rendah daripadanya.

No comments:

Post a Comment