Wednesday, November 13, 2013

430 Pemain Boling Sertai Terbuka Malaysia Ke-36

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) menyasarkan 430 pemain boling mengambil bahagian dalam Kejohanan Boling Terbuka Malaysia ke-36 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid dekat sini pada 15 hingga 23 Nov.

Presidennya, Datuk Dr P.S. Nathan berkata setakat ini seramai 170 pemain dari Asia dan Eropah telah mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM362,500 itu.

"Kejohanan ini akan menyaksikan persembahan pemain boling bertaraf dunia seperti pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2013 bagi kategori Masters lelaki dan wanita dari Korea Selatan iaitu Cho Young dan Son Yunhee.

"Kami sedang menunggu pengesahan atlet dari Amerika Syarikat. Kami juga menaruh harapan tinggi kepada atlet negara seperti Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zulmazran Zulkifli untuk merebut kejuaraan pada kejohanan ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Kejohanan Terbuka Malaysia ke-36 di Hotel Sunway Resort, di ibu negara, Selasa.

Nathan berkata 16 negara yang akan sama menghantar pemain ialah Australia, Brunei, Taiwan, England, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Macau, New Zealand, Filipina, Singapura, Sweden, Thailand, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam dan Malaysia.

Sementara itu Zandra Aziela yang juga juara bertahan kategori wanita optimis untuk mencipta hatrik pada kejohanan itu.

Atlet berusia 27 tahun itu merupakan juara bagi edisi kejohanan 2011 dan 2012.

"Secara keseluruhan prestasi pada tahun ini tidak begitu baik, jadi saya mahu memperbaiki kelemahan dan memberi saingan terbaik di hadapan penyokong negara untuk mempertahankan kejuaraan," kata Zandra Aziela.

Selain Zandra Aziela dan Zulmazran, atlet negara yang turut serta ialah Muhd Syafiq Ridhwan, Alex Liew, Sin Li Jane dan Shahlin Zulkifli.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment