Thursday, October 10, 2013

Zulfahmi pohon doa rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR - Hanya tinggal empat hari Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2013 bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tiada tanda-tanda pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin akan mengubah keputusannya atau membuat pusingan U untuk menarik diri daripada persaingan Kejuaraan Motosikal Dunia itu pada saat akhir.

Penunggang Red Bull KTM Ajo itu masih tetap nekad dengan keputusan untuk berlumba walaupun ada pihak yang menyuarakan kebimbangan terhadap prestasinya selepas menjalani pembedahan di kedua-dua pergelangan tangan di Sepanyol, baru-baru ini.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam, Zulfahmi hanya memohon doa daripada rakyat Malaysia mengiringinya di litar perlumbaan dan berharap dia mampu melakar sesuatu buat tanah air tercinta.

"Saya hanya memohon rakyat Malaysia mendoakan untuk saya sepanjang saya berlumba nanti, saya akui ramai yang bimbang kerana saya baru sahaja menjalani pembedahan di pergelangan tangan, tetapi tiada yang mustahil jika kita lakukan dengan penuh kesungguhan.

"Jangan bimbang, saya berada dalam keadaan sihat dan setakat ini, pergelangan tangan saya tidak memberi saya sebarang masalah untuk menunggang motosikal," katanya.

Sebagai membuktikan kesungguhannya itu menjelang GP Malaysia, Zulfahmi kali ini tampil dengan persediaan yang lebih rapi apabila dia bersama krew pasukan membuat penelitian yang lebih terperinci terhadap litar perlumbaan.

"Persediaan saya kali ini lebih rapi, bagi saya Litar Antabangsa Sepang antara litar yang paling sukar dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia. Suhu dan kelembapan merupakan satu kombinasi amat mencabar buat pelumba yang tidak biasa dengan litar perlumbaan di Sepang," ujarnya.

Sehubungan itu, sekalipun sudah cukup 'masak' dengan litar di SIC, Zulfahmi tidak sesekali mengambil mudah apabila dia mengambil masa yang terluang untuk mengkaji setiap selekoh yang terdapat litar tersebut yang memiliki 15 selekoh dan sepanjang 5,548 meter.

Mengulas lanjut mengenai GP Malaysia, anak muda berusia 21 tahun itu berkata: "Grand Prix di sini merupakan perlumbaan yang saya nanti-nantikan. Amat istimewa dapat berlumba di tanah air sendiri dan berkongsi detik yang dilalui bersama peminat.

"Saya berharap sambutan yang diberi di SIC masih sama seperti tahun lepas, yang mana suasananya cukup hebat. Saya tidak pernah melupakan detik itu."

Bagaimanapun, Zulfahmi mengakui selepas terbabit dalam kemalangan di Aragon, Sepanyol, perlumbaan hujung minggu ini menjadi lebih rumit daripada yang dia jangkakan.

"Namun, saya bekerja keras untuk memberikan yang terbaik. Saya perlu memanfaatkan kelebihan yang saya ada apabila beraksi di tanah air sendiri dan membuktikan yang saya telah banyak belajar daripada kesilapan yang saya lakukan pada tahun lalu," tegasnya.

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment