Monday, October 07, 2013

Zulfahmi mula jalani fisioterapi

Pegawai Perubatan Isn, Dr. Kamarul Haashimy Hussien (kiri) memeriksa tangan Zulfahmi pada sesi rawatan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Penunggang Moto3 Zulfahmi Khairuddin yakin rawatan fisioterapi yang diterimanya di Institut Sukan Negara (ISN) mampu memulihkan kecederaannya dengan lebih cepat, sekali gus membolehkannya berlumba pada Grand Prix Malaysia pada 11-13 Oktober ini.

Menurut penunggang pasukan Red Bull KTM Ajo berusia 21 tahun itu, rawatan fisioterapi yang dijalaninya semalam berjalan lancar seperti diharapkan.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya telah mula menjalani rawatan fisioterapi di ISN seperti dijadualkan. Aktiviti ini akan diteruskan sehingga perlumbaan bermula minggu depan untuk memastikan saya benar-benar kembali sembuh dan cergas sepenuhnya.

"Di saat penting seperti ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada ISN kerana sudi memberi bantuan susulan untuk memastikan hasrat beraksi di Grand Prix Malaysia pada 11-13 Oktober ini berjaya," katanya di sini, semalam.

Kata Zulfahmi, rawatan semalam hanya menumpukan kepada usaha untuk mengurangkan kesan lebam di badan tanpa menganggu kedua-dua tangannya yang masih berbalut simen.

"Isnin nanti barulah doktor benarkan balutan simen dibuka dan ahli fisioterapi boleh mula merawat tangan saya. Selain itu, saya juga dinasihatkan untuk dapatkan rehat yang secukupnya," katanya.
Dalam pada itu, Zulfahmi juga berharap pelumba wildcard negara Husni Aizat, 19, dan Amirul Hafiq, 16, dapat menggunakan peluang sebaik mungkin apabila mula turun berlatih di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam bagi mempamerkan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri nanti.

"Ini adalah satu kelebihan kepada mereka berdua. Pastinya mereka dapat mencari kesesuaian serta rentak dalam gaya tunggangan nanti," katanya yang berharap dapat pulih segera agar tidak ketinggalan dalam sesi latihan nanti.

No comments:

Post a Comment