Wednesday, October 02, 2013

Wan Zack berduka

Kelana Jaya: Kem skuad kebangsaan menerima perkhabaran buruk apabila pemain sayap lincah Wan Zack Haikal Wan Noor dilaporkan mengalami kecederaan lutut ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) serius sekali gus bakal menyebabkan pemain kelab liga divisyen tiga FC Ryukyu itu terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya sembilan bulan.

Berita itu pasti mengejutkan pengendali skuad Harimau Malaya Datuk K Rajagobal yang memerlukan khidmat pemain berusia 22 tahun itu bagi aksi persahabatan antarabangsa dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Shenzen China pada 9 Oktober ini sebelum misi lebih penting perlawanan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 dengan Bahrain di Shah Alam pada 15 Oktober.
Wan Zack memaklumkan mengenai kecederaan itu menerusi laman sosial Twitter miliknya selepas menjalani pemeriksaan perubatan di hospital di Jepun semalam.

Menerusi Twitter itu, Wan Zack pemain kelahiran Maran, Pahang yang menjadi pemain terbaik kejohanan ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menjuarai Pestabola Merdeka bulan lalu menyatakan rasa sedih apabila dimaklumkan doktor mengenai kecederaan ACL itu dan meminta semua peminat berdoa untuknya.

FotoKECEDERAAN Wan Zack disahkan hospital di Jepun semalam.

Bagi Rajagobal ketiadaan Wan Zack pasti memberi kesan kepada perancangan pasukannya apatah lagi beliau juga terpaksa mengetepikan tonggak pertahanan utama Mohd Fadhli Shas yang juga mengalami kecederaan lutut medial collateral ligament (MCL).

Malah kedudukan seorang lagi pemain sayap Azzamuddin Mohd Akil dari Pahang juga belum pasti untuk bersama skuad kebangsaan apabila dilaporkan turut ditimpa kecederaan.

“Saya cuma dimaklumkan menerusi Twitter dan saya akan meminta Tan Cheng Hoe (penolong jurulatih) untuk mendapatkan maklumat mengenai Wan Zack. Bagi saya Wan Zack penting untuk pasukan ini dan saya harap kecederaannya tidak serius. Ketiga-tiga pemain ini penting dalam pasukan namun kini saya kena fikir yang terbaik tanpa mereka,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan pusat skuad kebangsaan semalam.

Pada sesi latihan itu, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pemain manakala baki 17 pemain lagi akan bersama hujung minggu ini selepas selesai perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.

Turut berasa tempias ketiadaan Wan Zack pastinya pengendali skuad B-23, Ong Kim Swee yang juga memerlukan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Kim Swee mengesahkan sudah dimaklumkan Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda berhubung kecederaan serius yang menimpa Wan Zack itu. Bagaimanapun beliau tidak mahu terburu-buru sebaliknya mahu mendapat maklumat lebih terperinci terlebih dulu.

“Saya tidak boleh terburu-buru untuk mengatakan Wan Zack akan terkeluar dari skuad Sukan SEA Myanmar. Saya mahu menunggu laporan penuh berhubung status kecederaan Wan Zack dari pihak FC Ryukyu dan kemudian baru kita umumkan status Wan Zack untuk Sukan SEA nanti,” semalam.



Harian Metro - Oleh Aziman Rosdi

No comments:

Post a Comment