Thursday, October 17, 2013

Tunggu apa kata Myanmar

KUALA LUMPUR - Sedar akan keresahan yang dirasai oleh atlet yang bakal beraksi pada Sukan SEA 2013 ekoran siri pengeboman yang berlaku di Myanmar sejak akhir-akhir ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu mendapatkan penjelasan daripada tuan rumah mengenai situasi sebenar negara itu dalam mesyuarat di Naypyitaw, esok. 

Myanmar, yang menjadi tuan rumah edisi ke-27 temasya dari 11-22 Disember ini dikejutkan dengan beberapa siri pengeboman sejak minggu lalu.
Apa yang lebih meresahkan, akhbar melaporkan bahawa sasaran utama pengganas adalah tempat tumpuan awam seperti restoran, stesen bas, tokong dan pasar.

Malah, ekoran daripada siri pengeboman tersebut, kerajaan Britain, Perancis, Amerika Syarikat serta Australia telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar lebih berhati-hati ketika berada di sana.
Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi percaya, keadaan di Myanmar tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan.

Namun, bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan atlet boleh bertanding tanpa sebarang kerisauan, badan sukan kebangsaan itu akan mendapatkan laporan sebenar situasi keselamatan di negara tersebut pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sukan SEA yang diadakan esok.
"Pada masa ini, saya belum dapat memberi sebarang laporan berkenaan isu ini.

"Bagaimanapun, kita akan mendapat laporan penuh dan gambaran sebenar apa yang berlaku apabila Naib Presiden MOM, Datuk Low Beng Choo menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Sukan SEA di sana.

"Mesyuarat tersebut akan diadakan pada Jumaat ini (esok), jadi kita kena tunggu laporan dahulu sebelum memutuskan apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh Malaysia.
"Kedudukan kontinjen negara yang bertanding pada Sukan SEA akan kita putuskan pada mesyuarat 20 Oktober ini sejurus menerima laporan tersebut.

"Bagaimanapun setakat ini saya difahamkan, keadaan di sana terkawal dan tiada masalah serius, lagi pun Sukan SEA hanya akan berlangsung dua bulan dari sekarang" kata Kok Chi ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Kok Chi lagi, keputusan sama ada selamat untuk Malaysia menghantar wakil ke Myanmar pada Sukan SEA Disember ini akan dibuat secara kolektif bersama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Beng Choo akan berangkat ke Myanmar hari ini bagi menghadiri mesyuarat yang turut disertai oleh 11 wakil negara bertanding lain.

Oleh MUHAMAD AZRIN MAD HEDER
sukan@utusan.com.my
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20131017/su_03/Tunggu-apa-kata-Myanmar#ixzz2hwaJnAoL

No comments:

Post a Comment