Tuesday, October 29, 2013

Tiada sasaran luar biasa

JOSIAH Ng (kiri) dan Azizulhasni Awang tidak diletakkan sebarang sasaran tinggi oleh PKBM untuk membawa pulang kejuaraan pada Siri Piala Dunia Klasik yang bermula di Manchester, Jumaat ini.

KUALA LUMPUR - Tidak ada permintaan luar biasa daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam aksi pertama skuad trek di Siri Piala Dunia Klasik musim 2013/14 di Manchester yang bermula Jumaat ini kecuali mengharapkan pelumba senior, Josiah Ng mengekalkan prestasi terbaiknya dan Azizulhasni Awang pula kembali mendapat sentuhan cemerlang.

Menurut Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad, secara keseluruhannya bukan dua pelumba tersebut sahaja harus mempamerkan prestasi yang mantap malah pelumba lain seperti Fatehah Mustapa, Muhammad Edrus Md. Yunos dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (pecut berpasukan), Ju Pha Som Net juga harus mengambil peluang terbaik menunjukkan kemampuan terbaik mereka di Velodrom Manchester.

"Mereka yang beraksi di sini (Siri Piala Dunia Klasik Manchester) bukan senang untuk melayakkan diri tetapi berdasarkan prestasi sebelum ini di perlumbaan Grand Prix oleh itu mereka seharusnya meneruskan kecemerlangan yang dicatatkan sebelum ini terutama Josiah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Josiah masih lagi segar dengan kejayaan pingat emas yang diraih dalam acara pecut pada Piala Asia bulan lepas, sebelum membantu trio pecut berpasukan yang disertai Edrus dan Mohd. Fattah Amri Zaid meraih gangsa. Azizulhasni juga turut meraih pingat di kejohanan tersebut apabila muncul pemenang tempat ketiga acara pecut.

Kata Naim, ini adalah Siri Piala Dunia Klasik yang pertama bagi musim 2013/14 jadi status pelumba negara lain masih belum diketahui jadi pelumba negara sendiri harus mempamerkan aksi terbaik tanpa perlu memikirkan kemampuan jagoan lain termasuk dari benua Asia sendiri.
"Azizulhasni dan Josiah akan mengambil bahagian dalam acara pecut dan keirin begitu juga dengan Fatehah, manakala pecut berpasukan pula menyaksikan gandingan baru dengan pelumba remaja, Shah Firdaus bakal berganding buat pertama kali bersama Josiah dan Edrus untuk cuba mencatat masa terbaik.

"Sementara itu Ju Pha pula akan mengambil bahagian dalam perlumbaan mata, selepas mempameraksi mantap di Grand Prix Asia Tenggara, Jun lalu," katanya

No comments:

Post a Comment