Monday, October 21, 2013

Tiada hadiah hari jadi

KUALA LUMPUR - Tiada hadiah istimewa buat Datuk Lee Chong Wei yang bakal menyambut ulang tahun ke-31 hari ini apabila tumpas kepada pemain China, Chen Long 22-24, 19-21 dalam perlawanan akhir Siri Super Premier Terbuka Denmark 2013 di Odense, semalam.

Chong Wei berhasrat untuk menjadikan trofi Terbuka Denmark sebagai hadiah hari jadinya, namun ia tidak kesampaian sebaliknya dia terpaksa akur dengan kehebatan pemain No. 2 dunia itu.

Ini merupakan kekalahan kekalahan ketiga berturut-turut buat Chong Wei di tangan bintang China itu selepas turut tewas pada All England (Mac) dan Terbuka Hong Kong, November lalu.

Kekalahan Chong Wei itu mengulangi aksi pada 2011 apabila dia sekadar muncul naib juara dan kebetulan pada perlawanan akhir ketika itu dia tewas kepada pemain yang sama juga dengan keputusan straight set 15-21, 18-21.

Pemain kelahiran Bukit Mertajam itu pernah muncul juara pada tahun lalu dan meraih kejuaraan berturut-turut pada 2005 dan 2006, namun semalam semuanya seakan tidak menyebelahinya terutama pada set kedua.

Aksi di set pertama memperlihatkan Chong Wei melakukan beberapa kesilapan terutama di awal permainan, namun dia mula bangkit dan pada satu ketika mendahului perlawanan 10-8 termasuk melakukan servis kencang pada kelajuan lebih 240 kilometer per jam.

Bagaimanapun, Chen Long yang juga pilihan kedua kejohanan bangkit dan berjaya mengejar kedudukan 16-16 seterusnya mereka saling berbalas pukulan sehingga perlawanan set pertama tamat dan menyebelahi pemain China itu 22-24.

Pada set kedua Chong Wei kelihatan sudah tidak mampu untuk menghalang kehebatan Chen Long apabila ketinggalan 5-12, namun dia bangkit dan berjaya mengejar dengan merapatkan jurang kepada 10-13.

Semuanya musnah buat Chong Wei apabila Chen Long menang 21-19.
Kemenangan Chen Long itu menyaksikan China menguasai empat daripada lima kejuaraan yang ditawarkan Terbuka Denmark selepas mereka turut muncul juara acara perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran, tatkala Korea Selatan pula unggul menjuarai acara beregu lelaki menerusi pasangan yang baharu kali pertama digandingkan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Yong Dae-Yeon Seong melakar kejutan terbesar ke atas juara dunia dan pilihan pertama dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-16 untuk bergelar juara baharu beregu lelaki.

Dalam saingan perseorangan wanita, pemain No. 5 dunia, Wang Yihan hampir menjadi mangsa kejutan apabila dipaksa berhempas pulas ketika berdepan Sung Ji Hyun dari Korea Selatan sebelum menang 16-21, 21-18, 22-20.

Keunggulan China dalam saingan beregu wanita juga sukar dibendung. Biarpun turun tanpa status pilihan, Bao Yixin-Tang Jinhua berjaya membenam pasangan No. 3 dunia, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-16, 21-13 untuk ditabal sebagai juara.

Dalam beregu campuran, juara dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia terpaksa akur dengan kehebatan beregu No. 1 dunia, Zhang Nan-Zhao Yunlei 16-21, 13-21.

No comments:

Post a Comment