Friday, October 11, 2013

Tempoh Malaysia Jadi Tuan Rumah MotoGP Dilanjut Hingga 2016

SEPANG, 10 Okt (Bernama) -- Grand Prix Motosikal Malaysia maju setapak lagi berikutan pemeteraian kontrak yang akan menyaksikan Sepang International Circuit (SIC) Sdn Bhd menjadi hos bagi acara utama perlumbaan motosikal hingga 2016.

Litar Antarabangsa Sepang disahkan menjadi litar tetap dalam Kalendar MotoGP untuk tiga tahun lagi bermula tahun depan dan menjadi hos bagi Pusingan 15 daripada 18 pusingan Perlumbaan Motosikal Dunia.

Upacara menandatangani kontrak itu antara Dorna, pemegang hak eksklusif iklan dan siaran televisyen bagi FIM Road Racing World Championship Grand Prix (MotoGP), dan SIC, diadakan ketika berlangsungnya Forum Perniagaan Motosikal Asia Tenggara di SIC Paddock Club, di sini Khamis.

Dorna diwakili ketua pegawai eksekutifnya Camelo Ezpeleta, manakala ketua pegawai eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali menandatanganinya bagi pihak SIC.

"Pengumuman perlanjutan kontrak ini dibuat tepat pada masanya iaitu ketika SIC mencatat banyak kejayaan kebelakangan ini selepas pelancaran Forum Perniagaan Motosikal Asia Tenggara dan Shell Advance Asian Talent Cup (Siri perlumbaan sokongan MotoGP dengan Litar Sepang dipilih sebagai pangkalan bagi Dorna)," kata Ahmad Razlan kepada Bernama.

Mengenai perlanjutan kontrak itu, Ahmad Razlan berkata Kementerian Kewangan dan Lembaga Pengarah SIC bersetuju SIC terus menganjurkan perlumbaan MotoGP Malaysia.

"Mereka memberi justifikasi berdasarkan peningkatan jumlah penonton setiap tahun dan pemilihan SIC sebagai promoter bagi tahun 2012 oleh Dorna. Ia juga kerana perlumbaan motosikal amat popular di kalangan belia," katanya.

Mengenai perlumbaan hujung minggu ini, beliau berkata SIC mencapai sasaran awal mereka menarik 80,000 penonton pada hari perlumbaan berdasarkan jualan tiket semalam.

"Kami menyasarkan 80,000 penonton pada Ahad dan kami mencapainya, tapi jumlah ini mungkin meningkat menjelang hari perlumbaan kerana terdapat penonton yang membeli tiket pada saat-saat akhir. Saya percaya penyertaan enam penunggang Malaysia membantu merangsang penjualan tiket," katanya.

Enam pelumba berkenaan ialah Muhammad Zulfahmi Khairudin bagi Moto3; Azlan Shah Kamaruzaman (Moto2), Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2 wild card); Zaqhwan Zaidi (Moto2 wild card); Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik, kedua-dua mereka penunggang wild card bagi kategori Moto3.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment