Thursday, October 10, 2013

‘Soal wang no 2!’

Kuala Lumpur: “Kami tidak akan memusnahkan karier dan pelaburan jutaan ringgit yang diterima selama ini”.

Itu janji kapten Harimau Muda A Irfan Fazail, salah seorang enam pemain yang diberikan pilihan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya mahu meninggalkan skuad bawah 23 tahun negara kendalian Ong Kim Swee penghujung tahun ini.

“Sudah ada contoh sebelum ini bagaimana bekas pemain yang meninggalkan pasukan gagal mengekalkan prestasi. Saya serta rakan yang lain bertekad tidak mahu ia berulang dan berjanji akan mengekalkan prestasi sebaik mungkin terutamanya disiplin bagi memastikan mampu mendapat perhatian jurulatih bagi mewakili negara pada masa depan,” kata perancang tengah berusia 22 tahun kelahiran Johor itu.
Kebimbangan mengenai prestasi bintang muda negara tercetus apabila beberapa pemain meninggalkan skuad bawah 23 tahun negara sebelum ini gagal mempamerkan aksi konsisten dan terbaik walaupun mendapat bayaran lumayan.

Selain Irfan, lima lagi pemain yang diberikan pilihan oleh FAM membabitkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Fadhli Shas, Izham Tarmizi Roslan, A Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri dengan kesemuanya masih diterima sehingga penghujung tahun depan seandainya mahu kekal bersama Harimau Muda A yang mempunyai tugasan besar menghadapi Sukan Asia 2014 di Korea Selatan.

Beberapa pemain berkenaan dilapor mendapatkan tawaran lumayan hingga ada yang mencecah RM30,000 sebulan namun Izham Tarmizi dan Ahmad Hazwan membayangkan untuk kekal bersama Harimau Muda A.
Mengenai hala tuju diri sendiri, Irfan berkata, dia masih menanti tawaran konkrit daripada Johor Darul Takzim (Johor DT) seandainya kelab berkenaan benar-benar beminat mahu mendapatkan khidmatnya.

“Saya sememangnya mengharapkan cabaran baru dan mungkin masanya sudah tiba pada tahun depan untuk beraksi bersama pasukan lain. Namun saya masih menantikan tawaran konkrit mengenai perkara ini,” katanya.
Malah dia menyuarakan keyakinannya untuk bersaing dalam kesebelasan utama walaupun terdapat ramai pemain berpengalaman dan senior seandainya bersama Johor DT musim depan.

“Saya yakin dengan pengalaman diraih bersama Harimau Muda A selama ini dan pendedahan perlawanan di Eropah mampu memberikan peluang kepada saya merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.



Oleh Azlan Muhammad Zain - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment