Wednesday, October 09, 2013

SIC Akui Silap Bawa Pulang Zulfahmi Jalani Rawatan Susulan Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Penganjur dan promoter permotoran negara, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) melihat tindakan mereka membawa pulang pelumba Moto3, Muhammad Zulfahmi Khairuddin untuk menjalani rawatan susulan di tanah air, sebagai satu kesilapan.

"Jika dia (Zulfahmi) tidak dibawa balik awal, dia mungkin akan mendapat rawatan yang baik di sana (Sepanyol). Hospital di mana dia menjalani pembedahan adalah pakar dalam kecederaan pemotoran. Itu adalah kesilapan kita (SIC)," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.

Mengambil contoh juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo yang masih mampu berlumba selepas menjalani pembedahan akibat patah tulang selangka ketika sesi latihan di Grand Prix Assen dan berlumba semula selepas 48 jam pada Julai lepas, Ahmad Razlan percaya Muhammad Zulfahmi juga boleh berlumba dengan baik memandangkan kecederaannya adalah tidak begitu serius.

"Saya tidak menafikan bahawa ISN (Institut Sukan Negara) adalah sebuah badan sains sukan yang bagus tetapi setakat ini mereka masih tidak mempunyai kepakaran dalam kecederaan dalam bidang pemotoran. Apa yang Dr Ramlan beritahu itu adalah berdasarkan pendapat profesional beliau dan kami menerima nasihat beliau itu," tambah Ahmad Razlan.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan trofi baharu untuk perlumbaan Grand Prix Motorsikal Malaysia 2013 di Pusat Pelawat Royal Selangor di sini, Selasa.

Turut hadir, Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Mahathir, Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor Chen Tien Yue serta empat pelumba Malaysia yang akan beraksi pada perlumbaan Grand Prix Motorsikal Malaysia pada 11 hingga 13 Okt ini di Litar Sepang.

Mereka ialah Azlan Shah Kamaruzaman dan Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba Moto2 serta Amirul Hafiq dan Husni Aizat pelumba 'wild card' kategori Moto3.

Ahmad Razlan percaya ISN bersedia untuk menambah baik perkhidmatan mereka dengan mewujudkan pengkhususan untuk kecederaan dalam bidang pemotoran selepas ini.

Zulfahmi, 21, pelumba Red Bull KTM Ajo baru menjalani pembedahan di kedua-dua pergelangan tangannya di Hospital Universitario Quiron Dexeus, Barcelona, Sepanyol selepas terbabit dalam kemalangan perlumbaan Grand Prix Aragon minggu lepas.

Sebaik kembali dari Sepanyol, Muhammad Zulfahmi mendapat rawatan susulan di ISN dengan mendapat pemeriksaan daripada pegawai perubatan ISN Dr Kamarul Hashimy Hussien.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment