Thursday, October 10, 2013

Saya tidak pernah salahkan ISN - Razlan

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali memperakui kepakaran yang dimiliki Institut Sukan Negara (ISN) dan menafikan pihaknya menyalahkan institusi itu kerana membawa pulang pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang menerima rawatan susulan di Sepanyol seperti yang dilaporkan media (bukan akhbar Utusan Malaysia), kelmarin.

Dalam kenyataan akhbar, semalam, beliau berkata: "Kenyataan ini merujuk kepada laporan media berhubung komen saya mengenai rawatan susulan Zulfahmi di ISN yang saya lakukan sewaktu majlis memperkenalkan trofi Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2013 di Royal Selangor. Pertama sekali ingin saya nyatakan bahawa saya sama sekali tidak berniat untuk melemparkan kritikan mengenai isu tersebut terhadap ISN."

"Ingin saya jelaskan bahawa keputusan untuk membawa pulang Zulfahmi ke Malaysia bagi menjalani proses pemulihan merupakan keputusan pasukan dan juga kami sendiri. Kesilapan tersebut datang daripada pihak kami (SIC) dan bukannya ISN."

Razlan mengakui bahawa dia ada menyatakan bahawa ISN tidak mempunyai kepakaran khusus untuk menyelesaikan kecederaan melibatkan sukan permotoran seperti yang dialami Zulfahmi, tetapi menegaskan SIC tidak pernah meletakkan ISN sebagai pihak yang bertanggungjawab berhubung keputusan membawa pulang pelumba itu.

Bagaimanapun, Razlan melahirkan rasa gembiranya apabila badan induk sains sukan negara itu amat proaktif dan bersedia mewujudkan bahagian yang mengkhusus kepada sukan pemotoran bagi memahami sepenuhnya serta memastikan program yang lebih baik dalam mengendalikan kes-kes kecederaan pelumba kebangsaan yang beraksi pada kejuaraan dunia.

Menjelang GP Malaysia, beliau memberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz telah pun menghantar enam orang ahli terapi dan pakar sains sukan bermula hari ini di SIC, untuk tujuan menyediakan rawatan komprehensif buat Zulfahmi serta dua lagi pelumba wildcard negara.

"Selain rawatan komprehensif, ISN juga akan melakukan penyelidikan bagi memahami secara mendalam terhadap pengurusan sukan pemotoran khususnya membabitkan kecederaan dan rawatan.
"Saya amat berterima kasih dan menghargai keprihatinan kakitangan ISN terutama Dr. Ramlan yang memberi perhatian khusus kepada Zulfahmi dan perancangan mereka untuk mewujudkan jabatan sukan pemotoran," katanya.

Menurutnya, ISN merupakan sebuah institusi profesional ketika menjalankan tugas mereka dan SIC yakin bahawa badan tersebut amat mengambil berat terhadap Zulfahmi.



Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment