Wednesday, October 09, 2013

Saya tak perlekeh keputusan ISN: Razlan

Saya tak perlekeh keputusan ISN: Razlan  
Pelumba Wildcard Moto2, Hafizh Syahrin Abdullah bersama (dari kiri) pelumba Wildcard Moto3, Husni Aizat Abd Malek, pelumba Wildcard Moto3, Amirul Hafiq Azmi dan pelumba Moto2, Azlan Shah tertarik melihat piala baru yang dipamerkan, di Kuala Lumpur, semalam.
 
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menyifatkan kecederaan yang dialami penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin harus membuka mata Institut Sukan Negara (ISN) supaya lebih bersedia seandainya berdepan situasi sama di masa depan.

Sekalipun tidak menyalahkan ISN, Razlan bagaimanapun mengakui tindakan membawa pulang Zulfahmi ke Malaysia lebih awal - beberapa hari selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Barcelona, Sepanyol sebagai kesilapan.
Zulfahmi, 21, yang mencipta kejutan dengan menaiki podium kedua di GP Malaysia tahun lalu retak pergelangan tangan kanan ketika beraksi di GP Aragon dan dibedah minggu lalu selain kecederaan lain sedang menjalani rawatan fisioterapi intensif di ISN serta dinasihatkan tidak berlumba.


“Bagi saya, mungkin jika kita biarkan dia menjalani rawatan di Sepanyol adalah pilihan lebih baik kerana mereka sememangnya pakar dan khusus dengan kecederaan yang dialami penunggang motosikal seperti Zulfahmi,” kata Razlan ketika majlis pendedahan trofi GP Malaysia di Royal Selangor, semalam.

Bercanggah pendapat

“Saya bukannya memperlekehkan kemampuan ISN dan menghormati setiap pandangan mereka terutama dari sudut profesional namun mungkin mereka masih belum bersedia untuk berdepan situasi seperti ini dan masih belum mempunyai kepakaran seperti di Barcelona.

“Ia mungkin satu kekurangan namun saya percaya ISN akan buat sesuatu. Dan jika berlaku lagi selepas ini, mungkin mereka lebih bersedia.”
CEO ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, sebelum ini berkata kebiasaannya kecederaan retak tulang memerlukan tempoh masa antara sembilan hingga 12 minggu untuk pulih dan menasihatkan Zulfahmi supaya tidak berlumba di GP Malaysia.

Begitupun, ia bercanggah dengan pakar perubatan di Barcelona, Dr Xavier Mir yang juga Pengarah Pembedahan Mikro dan Tangan Hospital Universiti Quiron Dexeus yang yakin Zulfahmi akan bersedia untuk beraksi dengan baik di GP Malaysia.



Oleh Khairil S Iswan - Berita Harian

No comments:

Post a Comment