Monday, October 07, 2013

'Saya akan letak jawatan'

JOHOR BAHRU - Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sekiranya beliau gagal membimbing skuad Harimau Selatan menjulang sebarang piala musim depan.

Itu janji dibuat Tunku Ismail kepada peminat bola sepak negeri ini seperti disiarkan di laman sosial Facebook Johor Fan Club, sekali gus menunjukkan betapa seriusnya beliau mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri ini.

Kenyataan Tunku Mahkota Johor hadir sejurus selepas pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) kalah besar 1-6 kepada Kelantan di Kota Bahru, kelmarin dan menyebabkan skuad bimbingan Azmi Mohamed itu tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Namun, Tunku Mahkota Johor itu melihat kekalahan tersebut sebagai suatu yang positif dan yakin kegagalan tidak akan berterusan sambil mengibaratkan keputusan kelmarin seperti cuaca buruk, ia tidak kekal lama.

"Hari ini pasukan kita tidak bernasib baik, tetapi ia tidak bermakna Johor gagal.
"Kita merupakan kuasa baharu yang sedang bangkit, kekalahan hari ini adalah kemenangan hari esok. Saya bersama anda semua berkongsi keperitan sama," katanya.

Tunku Ismail juga berpendapat tidak salah untuk seseorang itu mempunyai cita-cita yang tinggi tetetapi pada masa sama perlu sanggup menempuh kegagalan kerana hanya dengan semangat serta kesungguhan, apa sahaja mampu dicapai.

"Segala apa yang dicapai musim ini hanyalah permulaan. Kita kalah dalam perlawanan ini tetapi semangat untuk membina empayar bola sepak yang hebat tidak pernah luntur. Kejayaan tidak datang dengan sekelip mata, ia memerlukan masa.

"Masa tersebut akan bermula pada 22 November ini," katanya tanpa penjelasan lanjut berhubung tarikh berkenaan.

Beliau turut memberitahu keinginannya yang mahukan impian masa hadapan lebih baik daripada sejarah lalu.

"Hidup mati Johor," katanya.

No comments:

Post a Comment