Wednesday, October 23, 2013

Rombak senarai 39 atlet

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat melakukan rombakan terhadap senarai 39 atlet yang sudah dipilih ke Sukan SEA Myanmar dengan menyenaraikan Noraseela Mohd Khalid serta Lee Hup Wei ke temasya dwitahunan itu yang berlangsung Disember ini.

Meskipun ratu lari berpagar serta atlet lompat tinggi itu gagal layak secara merit selepas beraksi hambar pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan yang berakhir Ahad lalu, Zolkples berpendapat kedua-dua atlet veteran itu wajar diberi peluang ke Myanmar dengan mengambil kira pengalaman serta pengorbanan dilakukan Noraseela serta Hup Wei sebelum ini.


Bukan mempertikai 39 atlet yang sudah disenaraikan KOM, namun Zolkples berasa kedua-dua atlet itu tidak boleh tercicir daripada senarai ke Myanmar.

“Benar Hup Wei tidak mencatat keputusan yang bagus pada Terbuka Kebangsaan dan KOM menyenaraikan S Navin Raj serta Nauraj Singh.

“Saya tidak ada masalah dengan Nauraj sebab prestasinya memang meningkat tapi bagi Navin Raj, saya fikir Hup Wei lebih konsisten.

“Saya sedikit musykil kenapa Hup Wei tidak diberi peluang sebagai atlet kedua yang tersenarai dalam acara lompat tinggi sebab dia adalah pemegang rekod kebangsaan. Sebelum inipun dia sangat konsisten.

“Bagi Noraseela, saya agak musykil juga. Benar, dia gagal meraih prestasi memberangsangkan sejak kebelakangan ini kerana baru saja kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan.

“Tapi Noraseela menunjukkan kesungguhan yang tinggi. Dia sanggup keluar belanja sendiri untuk berlatih dengan jurulatihnya di Afrika Selatan serta sanggup menangguhkan pelajaran di peringkat Master hanya semata-mata untuk menghadapi Sukan SEA,” katanya pada sidang media semalam.

Zolkples berkata, dengan tarikh akhir penyerahan nama atlet ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 15 November, beliau berharap KOM dapat menggunakan Terbuka Pahang pada 10 November ini sebagai medan pemilihan terakhir atlet ke temasya itu.

“Saya tidak bermaksud untuk campur tangan urusan KOM. Tapi saya hanya cuma mahu mereka mempertimbangkan semula senarai atlet ke Myanmar. Pada akhirnya, keputusan terletak di tangan mereka juga,” katanya.



Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment