Wednesday, October 02, 2013

Rashid Mahu Lupakan Pergeseran Dengan BAM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Rashid Sidek yang kembali bertugas hari ini, bertekad mahu melupakan segala pergeseran antaranya dan pengurusan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.

Beliau sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persediaan pemain remaja dan elit kebangsaan menghadapi Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula esok sehingga Ahad ini di Stadium Badminton Cheras.

"Fokus saya masih sama sebelum ini...tidak banyak berbeza iaitu saya menjalankan tugas melatih para pemain kebangsaan seperti biasa.

"Untuk Kejohanan Terbuka KL esok, saya mahu pemain elit buktikan mereka masih mempunyai kualiti menjadi seorang juara dan kepada pemain remaja, mereka boleh mempertingkat persembahan dan lebih maju lagi," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pemain kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini Selasa.

Menyentuh mengenai hubungannya dengan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang sebelum ini dikatakan dingin, Rashid berkata kedua-dua pihak sudah melupakan perkara itu.

Pada masa yang sama, Rashid turut memuji struktur kejurulatihan baharu BAM yang diperkenalkan oleh Tengku Mahaleel dikenali sebagai 'Projek Menang-Menang,' yang bermatlamat mencerahkan peluang pemain negara meraih kejuaraan dalam kejohanan yang disertai.

"Saya bagaimanapun perlu melihat terlebih dahulu mengenai struktur kejurulatihan ini memandangkan saya baharu kembali semula bersama BAM.

"Mengenai pemain yang bakal dilatih nanti, saya belum mendapat maklumat khusus kerana ia hanya akan diputuskan selepas pegawai BAM mengadakan mesyuarat selepas ini," katanya.

Rashid, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996, sebelum ini menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM dengan alasan Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat BAM, Tan Aik Mong ingin merombak struktur latihan skuad kebangsaan.

BAM menerusi satu kenyataan media semalam bagaimanapun mengesahkan Rashid memutuskan menarik balik keputusannya untuk meletak jawatan dan kembali melatih pemain negara.

Sementara itu, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang ditemui pemberita di sesi latihan berkenaan memuji tindakan Rashid kembali semula ke pangkuan BAM, dan berharap jurulatih berkenaan mampu membimbing pemain negara ke tahap lebih baik.

Pada masa yang sama, pemain perseorangan nombor satu dunia itu mendedahkan keputusannya untuk berehat daripada menyertai sebarang kejohanan Disember ini bertujuan memastikan dirinya cergas bagi menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik London 2012 itu bagaimanapun menegaskan beliau akan menggunakan waktu berkenaan untuk meneruskan latihan intensif di bawah kendalian jurulatih peribadinya, Tey Seu Bock.

"Bulan Januari (2014) sudah ada Terbuka Malaysia dan Korea... All-England pada Mac selain Kejohanan Dunia di Denmark pada Ogos.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment