Tuesday, October 29, 2013

Prestasi Pemain Badminton Kebangsaan Semakin Merosot - Zolkples

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kemerosotan prestasi pemain badminton negara perlu diberi perhatian serius oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, tahun depan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata beliau bimbang dengan prestasi pemain negara yang tidak menyerlah dalam beberapa kejohanan antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata jurulatih perseorangan Rashid Sidek dan Tey Seu Bock perlu menilai semula serta memperbaiki prestasi jaguh negara Datuk Lee Chong Wei.

"Pada Sukan Komanwel 2010, skuad badminton menyumbang lima emas, semestinya kita mahu mereka mengulangi pencapaian itu di Glasgow," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Ragbi Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS RC) di Stadium Mini, German Malaysia Institute (GMI), Bangi, dekat sini, Ahad.

Pada kejohanan Terbuka Denmark (15-20 Okt) dan dan Terbuka Perancis yang berakhir hari ini, pemain negara memberikan aksi kurang memberangsangkan terutamanya tonggak utama negara, Chong Wei dan Liew Daren.

Pada pusingan separuh akhir Terbuka Perancis semalam, Chong Wei diketepikan oleh pemain Jepun, Kenichi Tago dengan keputusan 21-17, 16-21, 12-21.

Chong Wei, selaku pemain nombor satu dunia, juga tewas kepada Chen Long dari China pada final Terbuka Denmark dengan kekalahan straight set 22-24 dan 19-21.

Daren pula kalah kepada pemain veteran dari Thailand, Boonsak Ponsana dengan keputusan 21-15, 15-21, 19-21 pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

Pada Terbuka Denmark, Daren menarik diri pada perlawanan pusingan pertama menentang pemain India, P. Kashyap kerana kakinya bengkak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment