Wednesday, October 23, 2013

Pisang tak akan berbuah dua kali

KUALA LUMPUR - Bagi memastikan insiden memalukan pada Sukan SEA 2011 tidak berulang, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mewajibkan semua atlet yang bakal ke Myanmar menjalani ujian doping sebelum memulakan latihan pusat, bulan depan.
Presidennya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, badan olahraga itu bercadang mengadakan dua ujian doping.
 
Pertama sebelum atlet memasuki latihan pusat yang dijadual bermula pada 4 November dan kedua pada saat akhir sebelum mereka berlepas ke Temasya Myanmar yang akan berlangsung dari 11-22 Disember.

Tegas Zainal, semua atlet yang telah disenarai ke Sukan SEA juga diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan, termasuk ujian air kencing.
"Kami berjanji bahawa 39 atlet yang telah disenarai untuk Sukan SEA 2013 bersih daripada sebarang penggunaan dadah dalam sukan.

"Malah kami juga telah mengarahkan semua atlet untuk membuat pemeriksaan di ISN (Institut Sukan Negara) dalam dua minggu ini sebelum menyertai latihan pusat KOM di Terengganu.
"Dalam masa sama juga kami ada memikirkan untuk melakukan ujian doping pada saat akhir sebelum menyertai Sukan SEA dan semua itu terserah kepada Pengurus Pasukan (Datuk Wan Hisyam Wan Salleh)," kata Zainal.

Pada temasya dua tahun lalu di Palembang, Indonesia, pingat emas yang diraih kuartet 4x400 meter negara yang dibarisi S. Kannathasan, P. Yuvaaraj, Schzuan Rosely dan Muhamad Yunus Lasaleh ditarik balik ekoran salah seorang anggota kuartet didapati positif dadah.
Pemeriksaan secara rambang ke atas salah seorang ahli kuartet itu, Muhamad Yunus mendapati pelari tersebut positif penggunaan dadah terlarang jenis Metandienone Metabolite yang berfungsi untuk membesarkan otot-otot tubuh.

Insiden tersebut juga menyebabkan pingat emas yang dimenangi kuartet tersebut terpaksa ditarik balik oleh Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) tahun lalu.

Lebih menyedihkan ganjaran RM10,000 yang sepatutnya dinikmati mereka menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) turut dibatalkan serta-merta oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, Zainal memberitahu pasukan olahraga akan memulakan latihan pusat mereka pada 4 November ini di Terengganu untuk persediaan terakhir ke Sukan SEA 2013.

"Kali ini kami memilih Terengganu sebagai destinasi untuk latihan pusat kerana di sana banyak kemudahan olahraga yang baik untuk atlet.

"Saya harap semua atlet yang terpilih dapat beraksi dengan baik dan menghadiahkan pingat buat negara," jelas Zainal.

No comments:

Post a Comment