Thursday, October 03, 2013

Penyokong Beri 'Tonik Tambahan' Untuk Kontinjen Sukan SEA Myanmar

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Kontinjen negara bakal menerima 'tonik tambahan' semasa Sukan SEA di Myanmar apabila sekumpulan penyokong fanatik tempatan akan berada di negara berkenaan, sepanjang temasya itu berlangsung dari 14 hingga 22 Dis.

Pengerusi Kelab Penyokong Sukan Malaysia (Famemas), Lee Hui Seng berkata kempen menyokong kontinjen negara itu adalah kali keenam dilakukan kumpulan berkenaan, kepada atlet kebangsaan pada temasya dwitahunan itu.

"Kumpulan penyokong kami cenderung menyertai pelbagai temasya sukan kerana ia memberi peluang kepada kami memberi sokongan kepada pelbagai jenis sukan yang disertai atlet negara.

"Kami juga ingin menjemput peminat sukan tanah air menyertai kami untuk berkhidmat kepada negara dengan memberikan sokongan kepada wira-wira sukan kita di Myanmar," katanya dalam kenyataan Khamis.

Sebelum itu, kelab penyokong pernah memberi sokongan semasa Sukan SEA di Vietnam (2003); Filipina (2005); Thailand (2007); Laos (2009) dan Indonesia pada 2011.

Selain itu, Lee berkata kumpulan itu juga pernah memberi sokongan kepada atlet negara semasa Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan; Sukan Asia di Doha, Qatar (2006) dan Sukan Asia di Guangzhou, China (2010).

Beliau berkata antara sukan yang akan mendapat sokongan padu Famemas ialah olahraga, sepak takraw, renang, terjun dan bola sepak.

Lee berharap atlet negara akan menampilkan prestasi terbaik pada Sukan SEA Myanmar kerana kumpulan itu akan sentiasa berada di belakang untuk memberi sokongan kepada mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment