Thursday, October 31, 2013

Penganjuran Siri Super ISTAF 2013/2014 Satu Sejarah Bagi Sabah, Kata Musa

KOTA KINABALU, 31 Okt (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman menyifatkan penganjuran kejohanan Siri Super Ketiga Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) yang julung kalinya dianjurkan di negeri ini sebagai satu sejarah buat Sabah.

Justeru itu, katanya penganjuran kejohanan berprestij dan kehadiran pemain sepak takraw bertaraf dunia seharusnya dijadikan sebagai satu peluang kepada peminat dan persatuan sukan sepak takraw di Sabah mempelajari sesuatu daripada kejohanan berkenaan.

"Sehubungan itu saya menyarankan kepada pegawai, pengurus, jurulatih dan pemain-pemain sukan sepak takraw di negeri ini supaya mengambil kesempatan ini untuk belajar dan mengkaji bukan sahaja dalam konteks pelaksanaan program ini bahkan teknik permainan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain antarabangsa yang berkampung di negeri ini selama empat hari," katanya.

Musa berkata demikian dalam teks ucapannya sempena perasmian Kejohanan Siri Super ISTAF di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini, yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Selain tuan rumah, kejohanan bermula hari ini hingga 3 Nov itu disertai Iran, India, Indonesia, Thailand, Jepun, Singapura, Brunei Darussalam, Jerman, Korea Selatan (menghantar regu wanita sahaja) dan Vietnam.

Musa turut melahirkan kegembiraannya kerana terdapat tiga pemain sepak takraw wanita dari Sabah telah dipilih menganggotai skuad kebangsaan sekali gus membuktikan langkah Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (ASTAKA) mengambil khidmat jurulatih dari Thailand setahun lalu sudah membuahkan hasil.

Beliau yakin melalui usaha gigih pengurusan ASTAKA dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, bidang sukan sepak takraw Sabah akan mencapai lebih banyak kecemerlangan pada masa-masa akan datang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia yang juga Timbalan Presiden ISTAF Datuk Ahmad Ismail berkata sukan sepak takraw kini semakin dikenali di luar negara tradisinya Asia Tenggara, kerana sukan itu turut aktif dimainkan di merata dunia seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Iran.

Malah, katanya negara-negara di luar Asia Tenggara kian menyerlah dalam bidang sukan berkenaan dari segi kemahiran dan bakat sehingga ada negara seperti Jerman sudah mampu memberi saingan kepada pasukan elit termasuk Thailand.

Katanya kini matlamat utama ISTAF ialah untuk terus membangunkan bidang sukan berkenaan untuk bertapak kukuh di persada antarabangsa dan akhirnya menjadi salah satu bidang sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik.

Ahmad berkata hasrat itu hanya boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama negara yang memilih sepak takraw sebagai salah satu bidang sukan dan penyertaan dalam kejohanan Siri Super ISTAF.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment