Wednesday, October 02, 2013

Pencapaian Di Palembang Mampu Jadikan Malaysia Kuasa Besar Sukan Di Asia - Khairy

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pencapaian cemerlang kontinjen negara pada temasya Sukan Perpaduan Islam Ketiga di Palembang, Indonesia meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk muncul, kuasa besar sukan di Asia pada masa hadapan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sambil berbangga dengan pencapaian kontinjen negara yang meraih 26 pingat emas, 20 perak dan 25 gangsa untuk menduduki tempat ketiga di belakang tuan rumah, Indonesia (34-33-33) dan Mesir (26-25-29) dalam temasya yang akan melabuhkan tirai secara rasmi Selasa, beliau menyifatkan pencapaian itu sesuatu yang luar dugaan.

"Apabila saya semak penyertaan negara lain, saya dapati bahawa kalau pun mereka tidak menghantar atlet elit kebangsaan mereka...atlet yang dihantar (negara-negara berkenaan) ke Palembang terdiri daripada atlet pelapis terbaik mereka.

"Jadi apabila saya melihat kepada prestasi atlet kebangsaan kita terutama dalam acara renang, wushu, badminton, memanah dan karate....(prestasi mereka) memang cukup baik," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penajaan Astro kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini Selasa. Menerusi kerjasama tersebut, Astro menaja sebanyak RM1 juta setahun kepada 17 persatuan sukan kebangsaan.

Kerjasama antara Astro dan MOM itu bermula dari 2010 yang mana Astro akan mengumpul, menghasil serta mengedarkan rangkaian kandungan sukan tempatan seperti bola sepak, hoki, skuasy, boling, badminton dan sepak takraw kepada rakyat Malaysia melalui penyiaran di Astro Arena (Saluran 801).

Khairy berkata peluang bersaing pada temasya di Palembang itu merupakan medan terbaik dalam persiapan akhir atlet negara sebelum menghadapi Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Beliau berkata daripada 136 atlet yang beraksi di Palembang, lebih separuh daripada mereka akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Myanmar yang bakal berlangsung dari 11 hingga 22 Dis.

"Sasaran awal kita untuk temasya ini (Sukan Perpaduan Islam) hanya tiga pingat emas. (Dengan kutipan 26 emas, 20 perak dan 25 gangsa), saya bangga dengan pencapaian mereka dan ia sesuatu yang cukup baik terhadap pencapaian atlet negara di peringkat Asia," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment