Thursday, October 17, 2013

Pedrosa Menang Di Malaysia, Marquez Kekal Pendahulu Kejohanan

SEPANG, 13 Okt (Bernama) -- Pelumba Sepanyol Dani Pedrosa dari Pasukan Repsol Honda menjulang kejuaraan kedua dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Sepang Ahad.

Meskipun berdepan kecederaan yang dialami dalam perlumbaan di Aragon, Pedrosa mencatat masa 40 minit 45.191 saat, lebih 2.757 saat untuk mendahului rakan senegara yang juga rakan sepasukan merangkap pendahulu kejohanan, Marc Marquez.

Pelumba pasukan Yamaha Factory Racing Jorge Lorenzo, yang merupakan juara bertahan, di tempat ketiga selepas mencatat masa 40:51.860s.

Kejayaan di Malaysia merupakan yang ketiga buat Pedrosa pada musim ini selepas menang berturut-turut pada Grand Prix Sepanyol di Jerez (5 Mei) dan Grand Prix Perancis di Le Mans (19 Mei).

Pedrosa masih berpeluang merangkul kejuaraan pada Kejohanan MotoGP 2013 dan ketinggalan 54 mata di belakang Marquez dengan baki tiga perlumbaan.

Selepas Grand Prix Motosikal Malaysia 2013, Marquez kekal mendahului dengan 298 mata diikuti Lorenzo yang mengumpul 255 mata manakala Pedrosa di tempat ketiga dengan 244 mata.

Bermula di petak keempat, Lorenzo mendahului perlumbaan pada peringkat awal sebelum Pedrosa mengambil alih kedudukan di posisi depan.

Selepas Malaysia, perlumbaan MotoGP akan berlangsung di Litar Phillip Islands di Victoria, Australia dari 18 hingga 20 Okt.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment