Monday, October 21, 2013

PAFA bebaskan Azraai

Ipoh: Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah bebas menyertai pasukan lain terutama negeri asalnya Kedah dalam kancah Liga M musim 2014 kerana hampir pasti memilih haluan berbeza dengan Perak, hari ini.

Jika sebelum ini tiada tanda pergerakan Azraai kerana masih mempunyai kontrak semusim dengan Seladang tetapi laluan kini terbuka luas meninggalkan Perak selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Khairul Azwan Harun, pagi semalam.

“Pertemuan hari ini (semalam) menjurus kepada penamatan kontrak saya dengan PAFA. Ia dicapai secara persetujuan bersama. Apapun kami akan bertemu lagi esok (hari ini) untuk membuat keputusan muktamad,” katanya mengulas dakwaan tersebar luas termasuk dalam laman sosial Facebook bahawa dia meletak jawatan.
“Tidak betul. Saya tidak meletakkan jawatan sebaliknya kami mencapai persetujuan menamatkan kontrak saya.

“Apapun saya akan lihat dahulu butiran akhir mengenai kandungan perjanjian sebelum menyatakan keputusan muktamad,” katanya.

Teka-teki mengenai kedudukan Azraai bersama skuad Seladang untuk musim 2014 mula bertiup kencang berikutan ketiadaan jurulatih itu bersama anak buahnya ketika latihan walaupun peggantungan terhadap pasukan sudah ditarik balik sejak seminggu lalu.
Sebaliknya penggendali sementara, Marshall Soper kelihatan terus mengendalikan latihan pasukan sekembali dari bercuti sempena hari raya aidiladha baru-baru ini hingga mencetuskan kekeliruan di kalangan umum.

Begitupun kekeliruan itu bakal berakhir apabila Azraai bertemu Azwan hari ini untuk memetrai perjanjian baru yang bakal mewujudkan suasana menang-menang agar tidada pihak yang menanggung kerugian. Jurulatih itu turut menafikan memilih haluan berbeza berikutan rasa kecewa kerana siasatan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment