Wednesday, October 02, 2013

Nicol Mulakan Kempen Terbuka Carol Weymuller Di New York Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Selepas memenangi Terbuka Malaysia, pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David kini memburu gelaran kedua Jelajah WSA apabila Terbuka Carol Weymuller membuka tirai di New York, Khamis.

Selepas misi menebus kekalahan kepada Raneem El Weleily dari Mesir dalam Terbuka Malaysia pada 15 Sept, Nicol pasti mahu melakukan perubahan di Terbuka Carol Weymuller.

Nicol tersingkir daripada Terbuka Carol Weymuller pada 2012 selepas kalah kepada Alison Waters dari England dalam perlawanan suku akhir.

Menurut laman web skuasy, www.squashsite.co.uk, Nicol diundi bertemu pemain bukan pilihan Donna Urquhart dari Australia dengan peluang memihak kepada pemain berumur 30 tahun itu yang menang kesemua tiga pertemuan dengan pemain dari Australia itu tahun lepas.

Sekiranya Nicol berjaya mengekang Urquhart, beliau kemungkinan besar akan bertemu pemain India, Dipika Pallikal atau pemain pilihan kelapan Kasey Brown dari Australia dalam suku akhir manakala pemain nombor dua Malaysia, Low Wee Wern, akan berdepan seorang pemain pusingan kelayakan dalam pusingan pembukaan.

Sekiranya Wee Wern mengalahkan pemain pusingan kelayakan dalam pusingan pembukaan itu, pemain pilihan kelima pertandingan itu akan bertemu pemain nombor dua dunia, Laura Massaro dari England dalam suku akhir.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment