Tuesday, October 22, 2013

Myanmar Beri Jaminan Tahap Keselamatan Sukan SEA 2013

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan untuk menghantar kontinjen negara ke Sukan SEA 2013 setelah pihak berkuasa Myanmar memberi jaminan berhubung soal keselamatan sepanjang temasya itu berlangsung dari 11-22 Dis ini.

Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Myanmar, Datuk Kamaruddin Embi berkata badan induk itu yakin pihak berkuasa Myanmar mampu mengawal keadaan di negara berkenaan.

"Namun, kita akan terus memantau keadaan di Yangon walaupun pihak berkuasa Myanmar memberi jaminan tentang keselamatan sepanjang Sukan SEA nanti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus-pengurus pasukan ke Sukan SEA Myanmar di sini, Isnin.

Pada 15 Okt lepas, letupan kecil berlaku di bilik air Hotel Traders yang terletak di bandar Yangon, menyebabkan seorang wanita warga Amerika Syarikat mengalami luka ringgan.

Sebelum itu, beberapa letupan juga dilaporkan berlaku di wilayah Rangoon dan Mandalay.

Kamaruddin yang juga bekas Ketua Polis Negeri Sembilan dan Perak, berkata pihaknya akan sentiasa berjaga-jaga dan tidak mahu mengambil risiko yang boleh mengugat keselamatan atlet negara di Myanmar.

Katanya MOM akan mengeluarkan peraturan kepada atlet dan pegawai sepanjang berada di Myanmar sebagai panduan agar tidak terdedah dengan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan mereka.

"Kita memandang serius dalam soal keselamatan kontinjen negara dan akan mengambil keputusan yang sewajarnya jika berlaku gangguan keselamatan di Myanmar nanti," katanya.

Beliau berkata MOM juga belum menetapkan jumlah atlet dan pegawai ke Myanmar dan perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat pengurus-pengurus pasukan ke Sukan SEA Myanmar akan datang, pada 11 Nov ini.

Setakat ini, katanya MOM menjangkakan kira-kira 800 atlet dan pegawai akan dihantar menyertai temasya dwitahunan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment