Thursday, October 24, 2013

MSN Mahu Penembak Negara Perbaiki Pencapaian Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Pencapaian beberapa penembak elit negara dalam temasya Sukan SEA masih di bawah kemampuan sebenar masing-masing, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Katanya, kutipan pingat emas yang mengecewakan dalam beberapa edisi yang lepas nyata tidak menggambarkan kemampuan sebenar mereka yang berpengalaman luas bersaing di pentas antarabangsa.

"Sesetengah daripada penembak kita mempunyai berpengalaman luas seperti Nur Ayuni Farhana (Abdul Halim) dan Bibiana Ng (Pei Chin) namun pencapaian mereka di Sukan SEA masih di bawah kemampuan sebenar.

"Justeru itu, saya harap skuad menembak kali ini mampu mengatasi pencapaian dua pingat emas yang diraih pada edisi 2011 di Palembang, Indonesia," kata Zolkples kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Menembak Air Gun Piala Ketua Pengarah MSN 2013 di Lapang Sasar Menembak Gimnasium Tiga MSN, di sini, Rabu.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM), S.Subramaniam berkata pihaknya hanya menyandarkan satu emas menerusi penembak wanita Joseline Cheah dalam acara 10m air pistol pada Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan skuad menembak negara mampu meraih lebih banyak emas pada edisi ke-27 temasya sukan berkenaan sekiranya mempamerkan aksi membanggakan.

"Kita tidak mahu memberikan tekanan dengan meletakkan sasaran emas yang lebih tinggi kepada barisan penembak namun saya yakin dengan kemampuan beberapa atlet pelapis kita," katanya.

Subramaniam berkata skuad menembak kebangsaan ke Sukan SEA Myanmar akan diketuai pengurus, Datuk Sabiamad Abd Ahad serta 14 penembak yang akan bersaing dalam 12 acara keseluruhan.

Skuad lelaki akan diwakili Jonathan Wong, Eddy Chew, Choo Wee Yan, Muhamad Ezuan Nasir Khan, Mohamad Lutfi Othman, Nik Muhammad Aimullah dan Abdul Hadi Abdul Malek.

Skuad wanita pula terdiri daripada Bibiana Ng, Joseline Cheah, Wahidah Ismail, Siti Nur Masitah Mohd Badrin, Muslifah Zulkifli, Nur Suryani Mohd Taibi dan Haslisa Hamed.

Kejohanan tiga hari Piala Ketua Pengarah MSN, yang julung kali diadakan itu, bermula esok di lapang sasar berkenaan yang terletak bersebelahan dengan pusat latihan gimnastik serta powerlifting kebangsaan.

Ia dilengkapi dengan beberapa kemudahan menembak yang moden termasuk papan elektronik yang menggunakan teknologi dari Jerman.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad menembak kebangsaan ialah meraih enam pingat emas ketika negara menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2001.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment