Thursday, October 10, 2013

Misi Berbeza Dua Pelumba Moto2 Di Litar Sepang

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Dua pelumba Malaysia yang akan menggalas cabaran negara dalam kategori Moto2 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 mempunyai misi berbeza ketika beraksi di Litar Sepang hujung minggu ini.

Bagi pelumba senior Azlan Shah Kamaruzaman, yang mendapat peluang beraksi secara merit dalam kategori Moto2 selepas beraksi cemerlang selaku pendahulu dalam kategori 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), beliau tidak mensasarkan dapat menghabiskan perlumbaan.

Pelumba berusia 29 tahun itu mewakili pasukan Honda Team Asia.

"Walaupun sudah dua siri MotoGP yang saya lalui tetapi saya masih perlu banyak belajar mengenai pengendalian jentera Moto2 ini.

"Saya perlu mencari rentak dan membiasakan diri dengan motosikal saya. Ia suatu benda yang baharu dan sangat berbeza dengan kategori 600cc yang saya pernah berlumba sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia adalah pusingan ketiga buat Azlan Shah selepas beraksi di Grand Prix San Marino dan Grand Prix Aragon.

"Peluang beraksi dalam MotoGP adalah sesuatu yang saya idamkan sejak lama. Kini saya sudahpun mendapat peluang itu. Saya hanya perlu sedikit masa lagi untuk betul-betul serasi dengan motosikal saya," kata Azlan Shah, yang pernah diuji untuk meraih slot 'wild card' dalam dua perlumbaan di Malaysia sebelum ini.

Sementara itu Hafizh Syahrin Abdullah, yang akan beraksi sekali lagi dengan tiket wild card' di Grand Prix Motosikal Malaysia mengharapkan dapat berlumba dalam keadaan litar basah.

"Semua orang tahu kelebihan saya beraksi ketika hujan. Jika keadaan hujan pada perlumbaan Ahad ini, saya yakin untuk mendapat keputusan yang sama seperti tahun lepas," katanya.

Pelumba pasukan Petronas Raceline Malaysia berusia 19 tahun itu menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 15 pelumba terbaik sekiranya berlumba dalam keadaan litar kering.

Pada saingan Grand Prix Motosikal Malaysia tahun lepas, Hafizh Syahrin melakar kejutan dengan menamatkan saingan di tempat keempat.

Pelumba kelahiran Kuala Lumpur itu membuat penampilan pertama dalam perlumbaan Moto2 selepas mendapat tiket wild card bersama-sama Zamri Baba pada 2011.

"Secara peribadi, saya sememangnya sudah bersedia untuk beraksi sepenuh musim dalam kategori ini (Moto2) kerana sudah beberapa kali mendapat tiket wild card tetapi segalanya terserah kepada pasukan saya," katanya.

Jika diberi peluang berlumba sepenuh musim dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, Hafizh Syahrin mahu kekal bersama pasukan yang sama dan belum bersedia untuk beralih angin dengan pasukan yang lain.

"Karier saya berkembang bersama pasukan Petronas Raceline Malaysia dan saya mahu terus kekal bersama pasukan ini," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment