Tuesday, October 22, 2013

MHC perkenal liga hoki lima, sembilan sebelah cungkil bakat

PEKAN - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan memperkenalkan liga hoki lima dan sembilan sebelah sebagai usaha mempopularkan acara berkenaan dalam arena sukan hoki negara.
Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sudah tiba masanya MHC memberi perhatian terhadap sukan hoki lima dan sembilan sebelah yang agak asing di negara ini berbanding di beberapa negara Eropah.

"Pertandingan sembilan dan lima sebelah ini adalah satu pertandingan baharu bagi kita dan kita buat ketetapan untuk terus memajukan kedua-duanya," katanya selepas merasmikan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di sini, kelmarin.

Beliau diminta mengulas pencapaian pasukan negara yang menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Siri Super Antarabangsa Sembilan Sebelah di Stadium Hoki Perth, Australia.

Tengku Abdullah berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, MHC akan menggilap bakat-bakat baharu dan tidak akan menyentuh mana-mana pemain daripada pasukan utama kebangsaan.

Menurutnya, berbanding sembilan sebelah, MHC akan memberi lebih keutamaan kepada penganjuran kejohanan lima sebelah.

"Kita memerlukan pemain-pemain baharu yang segar dan berbakat, mungkin kita akan ada liga kita sendiri, Insya-Allah seperti liga lima sebelah, itu yang akan kita utamakan," katanya.

Tengku Abdullah berkata, kejohanan tersebut pasti mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda, malah beliau optimis kejohanan lima serta sembilan sebelah akan dipertandingkan pada Sukan SEA atau Sukan Olimpik pada masa hadapan.

"Mungkin sembilan sebelah atau lima sebelah akan pergi ke peringkat tertinggi seperti Sukan SEA dan Olimpik nanti, sebab itu bermula sekarang kita mahu perluaskan lima sebelah ini terlebih dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment