Wednesday, October 23, 2013

Mereka kata saya sudah tua’

KUALA LUMPUR - “Bila saya kalah, semua orang kata saya sudah tua sebab itu saya kalah, tetapi bila saya menang, mereka kata wah! ini orang tua boleh tahan masih boleh menang. Saya sudah lali dan saya tidak kisah mereka hendak cakap apa."

Itu luahan jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei selepas mendengar pelbagai kritikan dilempar kepadanya gara-gara kekalahan terbaharu kepada jaguh No. 2 dunia dari China, Chen Long pada perlawanan akhir kejohanan Siri Super Terbuka Denmark, kelmarin.
Dalam pertarungan di Odense itu, Chong Wei tumpas 22-24, 19-21 dalam pertarungan yang berlarutan sehingga 68 minit.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat naib juara Olimpik dua kali itu di tangan lawan yang sama selepas tewas dalam penentuan kejuaraan di All England, Mac lalu, selain Terbuka Hong Kong, November lalu.

Kekalahan kelmarin, menyebabkan dia gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark yang dimenangi tahun lalu, malah Chong Wei juga turun dengan reputasi juara 2005 dan 2006.
“Saya dengar macam-macam orang kata bila saya kalah. Paling popular, saya sudah tua.. saya sudah tidak boleh bermain lagi. Saya kalah kepada pemain No. 2 dunia, Chen Long dalam perlawanan akhir pun mereka kata prestasi saya membimbangkan.

“Musim ini, saya main dalam tujuh Siri Super, lima daripadanya muncul juara dan dua naib juara. Saya juga muncul naib juara Kejohanan Dunia, tetapi bila kalah sekali di final, orang kata prestasi saya jatuh, saya kena buat itu, tukar ini.

“Saya rasa, tiada apa yang hendak saya ulas tentang komen mereka, sebab saya tiada kuasa hendak halang mereka bercakap. Biarlah saya fokus kepada permainan sendiri dan cuba mengekalkan kedudukan saya sekarang.

“Yang penting untuk diri saya.. saya gembira kerana masih mampu mengekalkan prestasi dan beraksi konsisten. Saya hanya kalah dalam perlawanan akhir kepada lawan yang hebat," katanya lagi ketika dihubungi Utusan Malaysia di Odense, semalam.

Chong Wei, yang meraikan ulang tahun ke-31 kelmarin, berkata, apa yang penting bagi dirinya adalah tidak membiarkan kata-kata negatif itu mempengaruhi fikirannya.
“Usia cuma nombor. Chen Long bermain baik dalam perlawanan itu, malah sejak awal lagi saya sudah kata, dia adalah pencabar terkuat saya sekarang.

“Lagipun China ada ramai pemain, seorang pergi.. seorang datang. Di Malaysia, hanya saya boleh melakukan perkara itu..main tujuh kejohanan, menang lima, naib juara dua kali.

“ Walaupun saya sudah tua, hakikatnya hanya saya yang boleh melakukannya ketika ini, jadi ia menuntut satu usaha yang amat keras untuk saya mengekalkan kedudukan itu," ujarnya lagi.
Chong Wei, yang menjuarai Terbuka Korea, Malaysia, Indonesia, Jepun dan India tahun ini, akan turun ke gelanggang hari ini untuk menentang P. Kashyap dalam aksi sulung Terbuka Perancis.

No comments:

Post a Comment