Wednesday, October 02, 2013

Malaysia Kuasa Besar Baharu Sukan Negara Islam


Kontigen Malaysia berarak masuk ke Stadium Sriwijaya pada majlis penutup Sukan Perpaduan Islam ke-3 di Palembang.


PALEMBANG, 2 Okt (Bernama) -- Kejayaan kontinjen negara di temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG) 2013, dengan menduduki tempat keempat kejohanan anjuran Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) ini, meletakkan nama negara sebagai kuasa sukan baharu dalam kalangan 57 negara di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam.

Kontinjen negara bukan hanya berjaya melepasi sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), malah meraih kejayaan besar mengumpul 26 pingat emas, 17 pingat perak dan 29 pingat gangsa.

Kutipan pingat di Palembang ini jauh lebih baik daripada pencapaian ketika edisi pertama kejohanan di Arab Saudi pada 2005 apabila Malaysia hanya menduduki tempat ketujuh setelah meraih lima pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan Datuk Jamil Salleh berkata rakyat Malaysia harus merasa bangga dengan kejayaan cemerlang yang dicapai kontinjen negara di Palembang.

Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh atlet, persatuan sukan, Kementeria Belia dan Sukan (KBS), MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN.

"Kita mendapat kejayaan cemerlang kerana mendapat sokongan kuat daripada kerajaan Malaysia khususnya KBS menerusi persiapan rapi yang dilakukan oleh MSN yang bertungkus-lumus memastikan semua atlet berada dalam keadaan terbaik sebelum diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran negara di Palembang," katanya kepada Bernama hari ini.

Jamil berkata beliau mewakili kerajaan Malaysia mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara kerana mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan dunia.

Beliau berkata postmortem akan dilakukan selepas ini bagi mengkaji kejayaan dan kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memastikan atlet berada dalam keadaan terbaik sebelum beraksi ke cabaran berikutnya temasya Sukan SEA Myanmar pada Disember.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata bagi atlet yang akan bertanding di Sukan SEA Myanmar, kejohanan di sini adalah pendedahan yang terbaik buat mereka.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atlet terutama atlet badminton yang berjaya menyekat dominasi pemain Indonesia dengan memenangi enam daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata rata-rata atlet yang dihantar ke Palembang terdiri daripada atlet pelapis MSN dan juga atlet di luar program MSN yang masih muda dan baharu, namun mereka berjaya mengawal emosi dan tekanan terutama daripada penyokong fanatik tuan rumah dan ini menunjukkan kematangan atlet negara.

"Atlet semua acara sukan berjaya mempamerkan aksi cemerlang di Palembang termasuk skuad renang yang membolot 12 pingat emas dan merupakan penyumbang tertinggi pingat emas negara.

"Tidak lupa juga atlet memanah yang menyumbang tiga pingat emas dan karate yang meraih satu emas," katanya.

Zolkples berkata atlet wushu melakukan kejutaan meraih empat pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa.

"Secara peribadi saya bangga dengan semangat juang atlet kita dan mereka seharusnya mendapat pujian daripada kejayaan ini," katanya.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment