Wednesday, October 02, 2013

Malaysia Akhiri Cabaran ISG 2013 Dengan Pencapaian Luar Biasa


PALEMBANG, 1 Okt (Bernama) -- Kontinjen negara mengakhiri cabaran Temasya Sukan Perpaduan Islam (ISG) Ketiga dengan pencapaian luar biasa apabila menduduki tangga keempat carta kutipan pingat dengan meraih 26 pingat emas, 17 perak dan 29 gangsa.

Pada edisi pertama di Arab Saudi tahun 2005, Malaysia hanya menduduki tempat ketujuh daripada 57 negara di kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setelah berjaya meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa.

Pencapaian cemerlang itu, meletakkan Malaysia sebagai antara kuasa baharu sukan yang harus digeruni 57 negara Islam yang mendaftar diri sebagai anggota Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF).

Tuan rumah, Indonesia muncul juara ISG apabila mengutip pingat tertinggi daripada 44 negara yang mengambil bahagian dengan kutipan keseluruhan 104 pingat iaitu 36 pingat emas, 34 perak dan 34 gangsa.

Iran yang mendominasi kutipan pingat pada peringkat awal temasya terpaksa berpuas hati selaku naib johan apabila mengumpul 59 pingat iaitu 30 pingat emas, 17 perak dan 12 gangsa.

Mesir pula menduduki tangga ketiga selepas mendahului Malaysia dengan 26 pingat emas, 31 perak dan 29 gangsa.

Sukan Akuatik menjadi penyumbang terbesar pingat negara apabila 12 pingat emas, tiga perak dan enam gangsa dikutip menerusi acara renang.

Kem badminton negara turut beraksi cemerlang apabila membolot enam daripada tujuh pingat emas yang ditawarkan untuk acara itu, manakala skuad wushu melakukan kejutan apabila meraih empat pingat emas walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.

Memanah pula menyumbang tiga pingat emas dan karate pula meraih satu pingat emas.

Walaupun gagal menyumbang pingat, Jackie Wong Siew Cheer, peserta acara tukul besi lelaki memperbaharui rekod kebangsaan apabila melakukan balingan 59.53 meter.

Sebanyak 13 rekod peribadi diperbaharui menerusi acara olahraga dan renang menunjukkan atlet negara kini berada dalam keadaan terbaik sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment