Monday, October 21, 2013

KOM sasar tujuh emas di Myanmar: Zainal

Kuala Lumpur: Selepas tamatnya Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Zainal Abidin Ahmad (gambar) masih tetap dengan pendiriannya meletakkan sasaran tujuh emas pada temasya Sukan SEA Myanmar dari 11 hingga 22 Disember ini.
Biarpun keputusan yang dilakar atlet negara tidak seperti yang diharapkan, KOM masih yakin dengan sasaran itu dan tetap dengan keputusan untuk tidak menghantar atlet kategori B.

Namun beliau bakal menimbang prestasi atlet yang menduduki ranking terbaik di Asia Tenggara. Zainal berkata, tiada kategori B yang akan dihantar ke Sukan SEA tetapi beliau menyambut baik hasrat Majlis Sukan Negara (MSN) yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan menanggung beberapa atlet senior seperti Noraseela Khalid dan Robani Hassan yang masih tidak melepasi syarat kelayakan selepas tamatnya Terbuka Malaysia, kejohanan terakhir sebelum senarai nama atlet diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM). “KOM tiada halangan jika MSN ingin menanggung perbelanjaan untuk menghantar beberapa atlet tapi kami masih tetap dengan keputusan untuk menghantar atlet yang layak secara merit saja.
“Kita perlu akur, prestasi atlet olahraga negara sekarang sudah merosot dan tiada apa yang boleh memberi kepastian atlet boleh menang emas,” katanya. Beliau yang ditemui pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia itu berkata, satu mesyuarat akan dilangsungkan dengan senarai akhir atlet ke Sukan SEA akan diputuskan hari ini.

Mengulas penyertaan jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang gagal menempatkan diri, Zainal berkata, keputusan sudah diputuskan sebelum ini iaitu hanya dua terbaik akan dipilih.

Justeru keputusan itu menyaksikan daripada enam atlet yang melepasi syarat kelayakan bagi acara lompat tinggi hanya Nauraj Singh dan Navin Raj bakal mengalas tugas mempertahankan pingat emas selepas masing-masing meraih emas dan gangsa.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment