Wednesday, October 23, 2013

KOM Diminta Timbang Semula Keputusan Tidak Hantar Noraseela/Hup Wei

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menimbang semula keputusan tidak menyenaraikan dua atlet senior iaitu Noraseela Mohd Khalid dan Lee Hup Wei ke Sukan SEA di Myanmar pada Disember.

Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong berkata ratu lompat berpagar dan atlet lompat tinggi negara itu perlu dimasukkan dalam senarai akhir 36 atlet ke temasya itu kerana mereka lebih berpengalaman dan mempunyai pencapaian yang konsisten.

"Walaupun gagal layak secara merit ke Myanmar, Noraseela dan Lee Hup Wei memiliki rekod pencapaian yang konsisten sepanjang tahun ini. Mereka telah membuktikannya dengan meraih kejayaan dan pernah mengharumkan nama negara," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata KOM perlu mengambil kira pandangan dan pendirian MSN yang telah menyalurkan peruntukan kepada badan induk olahraga itu untuk persediaan atlet negara, malah pihaknya juga mengetahui kemampuan seseorang atlet itu.

Zolkples berkata Hup Wei sepatutnya disenarai ke Myanmar kerana beliau masih memegang rekod kebangsaan iaitu 2.27 meter yang dicatatnya semasa Kejohanan Olahraga Terbuka China 2008.

"Saya yakin kemampuan Hup Wei dan percaya bahawa beliau masih berupaya untuk menyumbang pingat kepada negara dan masih belum tua jika dibanding dengan atlet baharu," katanya.

Zolkples turut mempersoal tindakan KOM yang menyenarai atlet kurang berpengalaman sebagai atlet kedua dalam acara lompat tinggi pada temasya di Myanmar itu.

"Saya difahamkan, KOM turut menyenarai atlet yang tidak mengambil bahagian pada Terbuka Malaysia dalam senarai akhir ke Myanmar. Malah ada nama-nama juga kurang dikenali," katanya.

Zolkples juga mempersoal keputusan KOM tidak memasukkan nama Noraseela ke temasya itu sedangkan beliau boleh membantu kem negara dalam saingan 4x400 meter dan acara lompat berpagar.

"Kita perlu ambil kira pengorbanan dan kesungguhan Noraseela yang sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membiayai latihan dan menangguh pengajiannya semata-mata untuk memberi tumpuan kepada persiapan ke Sukan SEA," katanya.

Beliau berharap KOM dapat memberi satu lagi peluang kepada atlet senior yang gagal layak secara merit ke Myanmar pada Terbuka Malaysia Ahad lepas, untuk menebus kegagalan mereka pada Terbuka Pahang pada 10 Nov ini.

"Adalah tidak adil jika prestasi atlet dinilai daripada satu kejohanan sahaja sebaliknya mereka harus diberi peluang membuktikan kemampuan mereka dalam beberapa kejohanan," katanya.

Zolkples berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan KOM dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Semalam, KOM kekal dengan pendirian untuk hanya menghantar atlet olahraga yang layak secara merit ke Sukan SEA manakala atlet senior yang gagal melepasi had kelayakan terpaksa melupakan hasrat beraksi pada temasya dwitahunan itu.

Namun, MSN sebelum ini bercadang untuk menanggung perbelanjaan Noraseela dan Hup Wei walaupun mereka gagal melepasi had kelayakan pada Terbuka Malaysia baru-baru ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment