Wednesday, October 09, 2013

Kim Swee Mahu Masalah Kontrak Pemain Selesai Akhir Bulan Ini

KELANA JAYA, 8 Okt (Bernama) -- Pengendali skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee mahu masalah melibatkan kontrak pemain dapat diselesaikan sebelum akhir bulan ini supaya persiapan anak buahnya untuk mempertahan pingat emas di Sukan SEA Myanmar pada Disember tidak terjejas.

Beliau berharap pemainnya tidak diganggu selepas mereka membuat keputusaan mengenai kontrak itu.

"Saya tidak mahu mereka (pemain) hilang fokus disebabkan perkara ini. Oleh itu, kita memberi peluang kepada beberapa pemain untuk membuat keputusaan sama ada ingin kekal bersama Harimau Muda A atau sebaliknya demi masa depan mereka," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Sebelum ini, beberapa persatuan dan kelab bola sepak tempatan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain skuad bawah 23 tahun negara itu berikutan prestasi baik mereka dalam beberapa kejohanan, selain mereka turut didedahkan dengan latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah dalam tempoh yang panjang.

Kim Swee berharap enam pemain yang diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada ingin terus kekal bersama skuad Harimau Muda A atau sebaliknya, tidak tertekan dalam persiapan mereka menghadapi temasya di Myanmar.

"Setiap pemain diberitahu dari awal tentang apa yang perlu diutamakan dan apa objektif mereka berada dalam pasukan Harimau Muda. Saya fikir mereka tahu apa keputusaan dan perkara yang perlu diberi keutamaan," kata jurulatih itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata enam pemain yang diberi pilihan oleh badan induk itu ialah ketua pasukan Mohd Irfan Fazail, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Izham Tarmizi Roslan, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri.

Beliau berkata tiga pemain iaitu Izzaq Faris Ramlan, Muhammad Syahid Zaidon dan Muhamad Hazwan Rahman pula tidak dilanjut kontrak bersama Harimau Muda A kerana sudah melebihi 23 tahun.

"Walaupun pemain ini tamat kontrak atau memilih menamatkan kontrak, jika ada keperluan, FAM akan mempertimbang memanggil kembali mereka untuk mewakili negara ke cabaran Piala Asia di Australia pada 2015," katanya.

Hamidin berkata FAM juga memperbaharui kontrak 17 pemain iaitu Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Mohamad Fandi Othman, R Gary Steven, Mohammad Amer Saidin, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan D Saarvindran.

Pemain lain ialah Mohd Rozaimi Abdul Rahman, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, Saiful Ridzuwan Selamat, Syahrul Azwari Ibrahim, Shahrul Mohd Saad, Mohd Farhan Abu Bakar, D Kenny Pallraj, Mohamad Firdaus Muhamad, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, Muhammad Ariff Farhan Md Isa dan Adam Nor Azllin.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee berkata skuad Harimau Muda A akan diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan persiapan mereka sebelum beraksi di Myanmar.

"Kita akan adakan empat perlawanan persahabatan semasa menjalani latihan di luar negara iaitu di Amman, Jordan pada awal November membabitkan dua perlawanan bersama pasukan kelab Jordan dan dua perlawanan menentang pasukan bawah 23 tahun Jordan," katanya.

Beliau berkata sekembali ke tanah air pada 21 Nov, anak buahnya akan diuji menerusi dua perlawanan persahabatan berdepan kelab Divisyen Tiga Jepun, Ryukyu FC selain satu lagi perlawanan yang belum ditentukan.

Kim Swee berkata bagi mengisi kekosongan dalam skuad Harimau Muda A, beliau akan melakukan pemilihan dalam kalangan pemain muda dalam skuad Harimau Muda B dan C.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau belum membuat keputusan berhubung kontraknya bersama FAM yang bakal berakhir Disember kerana memberi tumpuan membimbing pasukan Harimau Muda A menghadapi Sukan SEA Myanmar.

"Saya akan fikir tentang kontrak bila balik dari Myanmar," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment