Thursday, October 03, 2013

Khairy Pandang Serius Laporan Ketua Audit Negara, Tindakan Akan Diambil

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memandang serius Laporan Ketua Audit Negara mengenai kementerian itu yang berbelanja secara tidak berhemat semasa menganjurkan Hari Belia 2012.

"Yang pasti, kami di KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan ketirisan dan kepincangan dapat diatasi.

Dana kerajaan adalah wang rakyat. Kita mesti bertanggungjawab pada setiap sen yang dibelanjakan," katanya.

Khairy berkata prinsip kebertanggungjawaban bersama amat bermakna baginya dan "saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya.

"Kita tidak boleh lari dari tanggungjawab dan amanah," katanya dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan semalam, mendapati perbelanjaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi promosi dan publisiti Hari Belia Negara 2012 berjumlah RM1.1 juta adalah tinggi dan tidak berhemat.

"Saya memandang serius pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Jika kita serius melakukan transformasi ke arah kerajaan yang lebih telus dan amanah, laporan tersebut tidak boleh diketepikan. Rakyat tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin kerajaan membisu tentang laporan ini," katanya.

Khairy berkata beliau tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan KBS sebelum beliau dilantik sebagai menteri.

Menurut laporan itu, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di bawah KBS menggunakan sejumlah RM2.94 juta untuk perbelanjaan keseluruhan bagi program Hari Belia itu, termasuk membelanjakan RM1.6 juta untuk pembayaran artis K-Pop sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Khairy dalam kenyataannya itu tidak menyangkal bahawa KBS mengeluarkan perbelanjaan dan menanggung kos bagi konsert K-Pop itu kerana penaja swasta yang membuat penawaran untuk menaja tidak berbuat demikian.

Mengenai isu tuntutan kerja yang dibayar oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk kerja yang sama dan dibuat beberapa kali, Khairy berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun menjalankan siasatan dan sudah sampai ke peringkat akhir siasatan.

"Mengenai perkara-perkara lain yang dibangkitkan dalam laporan audit, saya telah minta maklum balas yang terperinci dari pegawai-pegawai tinggi KBS sebelum tindakan selanjutnya diambil kepada pihak berkenaan yang bertanggungjawab ke atas kes-kes tersebut," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment