Monday, October 07, 2013

KBS mahu promosi negara bersukan

 KBS mahu promosi negara bersukan  
Khairy hadir pada perasmian penutup Larian Terbuka Kelantan 2013

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bercadang mempromosikan konsep 'Sporting Nation' atau negara bersukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, budaya bersukan di negara ini masih belum sampai ke peringkat akar umbi dan pihak kementeriannya berusaha keras memastikan hasrat tersebut tercapai.

“Sejak saya menjadi menteri empat bulan lalu, saya meletakkan wawasan supaya Malaysia menjadi negara bersukan. Kita adalah negara yang suka kepada sukan, mempunyai ramai peminat dan pengkritik sukan namun hakikatnya kita masih belum sampai ke tahap negara bersukan.

“Contohnya Australia, meski pun penduduk negara mereka tidak ramai, sekitar 20 juta orang, namun atlet mereka sudah meraih pingat emas di peringkat antarabangsa seperti di temasya sukan Olimpik.

Beliau berkata demikian di dalam ucapan perasmian penutup Larian Terbuka Kelantan 2013 anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, semalam.

Menurutnya, keadaan tersebut cukup berbeza di negara kita, apabila ramai anak-anak muda lebih banyak meluangkan masa di pusat membeli belah dan tidak keluar untuk bersukan atau melakukan aktiviti rekreasi.

“Di negara luar, kanak-kanak seawal usia empat atau lima tahun sudah diajar oleh ibu bapa mereka untuk aktif bersukan. Apabila budaya ini ditanam sejak awal, akhirnya ia diterjemahkan dengan meraih pelbagai kejayaan,” katanya.

Tambahnya, pihak KBS akan terus memikul tanggungjawab untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersukan bagi melahirkan lebih ramai jaguh sukan seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Azizulhasni Awang dan Pandalela Rinong.

Seramai 750 peserta mewakili pelbagai golongan masyarakat menyertai larian itu dan paling istimewa tujuh pesakit diabetes turut mengambil bahagian dengan berlari sejauh tiga kilometer.

Pada larian tersebut, Nik Fakaruddin Ismail muncul juara dalam kategori lelaki terbuka (10 km) dengan catatan masa 33:15 saat, tempat kedua, Mohd Nazri Ahmad (34:14 saat) dan ketiga, Mohd Zafrullah (34:45 saat).



MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD, FOTO : KHIRU SHALEH ABDULLAH - SINAR ONLINE

No comments:

Post a Comment