Thursday, October 24, 2013

Jangan tekan Chong Wei - Dr. Ramlan

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu mengubah jangkaan mereka terhadap jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei agar harapan yang diletakkan di bahu pemain itu bersesuaian dengan faktor usianya sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dato' Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, perubahan tersebut perlulah seiring dengan usia pemain perseorangan utama negara itu yang telah pun memasuki angka 31 tahun.

"Rakyat Malaysia perlu mengubah jangkaan mereka terhadap Chong Wei, supaya sesuai dengan keadaan semasa dan juga faktor usia pemain itu sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam

Beliau diminta mengulas luahan Chong Wei selepas mendengar pelbagai kritikan dilempar terhadap pemain itu gara-gara kekalahan terbaharu kepada jaguh No. 2 dunia dari China, Chen Long pada perlawanan akhir kejohanan Siri Super Terbuka Denmark, Ahad lalu.

Dalam luahannya, kelmarin Chong Wei berkata: "Bila saya kalah, semua orang kata saya sudah tua sebab itu saya kalah, tetapi bila saya menang, mereka kata wah! ini orang tua boleh tahan masih boleh menang. Saya sudah lali dan saya tidak kisah mereka hendak cakap apa."

Menurut Dr. Ramlan, selagi ada keinginan dan kemampuan untuk bermain, Chong Wei masih boleh terus beraksi di pentas antarabangsa.


Jelasnya, walaupun faktor usia boleh dijangka menjejaskan prestasi seseorang atlet, namun semua itu tetap bergantung kepada keupayaan individu dari segi potensi dan juga tahap keinginan untuk mempertahankan elemen-elemen penting dalam permainannya.

"Elemen-elemen yang dimaksudkan seperti kecergasan, teknik dan ditambah dengan pengalaman bermain serta tahap kemampuan pemain menghadapi pelbagai cabaran dan kesusahan," ujarnya.
Dr. Ramlan memberitahu, Chong Wei yang baru sahaja meraikan ulang tahun kelahirannya pada 21 Oktober lalu masih mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemain utama.

"Dari segi mental, terlalu memikirkan soal usia tidak sepatutnya dilayan. Bagaimana kita hendak menilai keupayaan diri jika tidak mencuba dan bagi saya sekiranya sentiasa berfikiran positif, semuanya boleh direalisasikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui atlet yang telah menginjak usia 30 tahun ke atas memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan tiada sebarang masalah yang dihadapi pemain berkenaan lebih-lebih lagi berkaitan dengan keadaan fizikal mereka.

"Proses pemulihan yang lebih panjang amat diperlukan oleh atlet berkenaan bagi mengelakkan mereka terdedah kepada sebarang kecederaan dan sebab itu, mereka memerlukan pemantauan yang rapi," tegas beliau.

Mengulas mengenai program pemain pelapis, Dr. Ramlan berkata, ISN amat menyedari kemelut tersebut berikutan ketiadaan pemain pelapis bagi menggantikan Chong Wei, sebab itu pihaknya sedang dalam perbincangan bagi memastikan pemain-pemain muda seperti Soo Teck Zhi, Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramdan Misbun dan ramai lagi dapat diberi perhatian.




Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment