Friday, October 11, 2013

'Itu sahaja saya nak cakap'

RAJAGOBAL (kiri) dan Subahan (kanan) menjejakkan kaki di KLIA, Sepang selepas Harimau Malaya mengadakan aksi persabahatan menentang UAE 1-3 di Shenzhen, China malam tadi.


PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal seolah-olah kehilangan kata-kata menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober depan.

Menyedari jurang ketara antara kedua-dua pasukan bagaikan 'langit dan bumi', Rajagobal juga enggan menjadikan krisis kecederaan pemain-pemain utama Harimau Malaya kali ini sebagai alasan untuk 'mengibarkan bendera putih' sebelum berjuang.
"Semua orang kena sedar memang ada jurang ketara antara skuad negara dan Bahrain, itu sahaja saya nak cakap.

"Sama ada dilanda krisis kecederaan pemain ataupun tidak bukan persoalan utama kerana mereka (Bahrain) tetap pasukan pilihan berbanding kami.
"Jadi, saya harap pemain turun dengan keyakinan tinggi di Shah Alam nanti," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi.

Rajagobal berkata, beliau terpaksa melupakan beberapa tonggak utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhammad Fadhli Shas dan Mohd. Safee Sali yang dilanda kecederaan.
"Selain itu, perkembangan Aidil Zafuan Abdul Razak dan Ahmad Shakir Shaari juga dipantau dari masa ke semasa.

"Saya juga berharap supaya Norshahrul Idlan Talaha mampu pulih sepenuhnya sebelum berdepan Bahrain nanti," katanya.
Pada masa sama, Rajagobal juga menyifatkan aksi di Stadium Shah Alam tidak memberikan kelebihan buat anak-anak buahnya memburu kemenangan di laman sendiri.
"Bahrain satu pasukan yang kuat, mereka juga sudah meraih enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.

"Jadi, saya tidak menganggap aksi di Shah Alam mampu memberikan kelebihan buat kami.
"Cuma pada masa sama, saya percaya pemain akan turun dengan semangat juang yang tinggi bagi memburu tiga mata berharga," jelasnya.

Selepas berdepan Bahrain nanti, skuad Harimau Malaya akan kembali membuat perhitungan dengan lawan yang sama di tempat lawan pada 15 November depan sebelum melayan kunjungan Qatar empat hari kemudian.
Skuad kendalian Rajagobal bakal menutup tirai aksi kumpulan berdepan Yemen di tempat lawan pada 5 Mac tahun depan.



Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2hN6JMLfy

No comments:

Post a Comment