Wednesday, October 02, 2013

Isu Rasuah: KBS Sokong FAM Siasat Pasukan Sarawak - Khairy

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyokong tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat pasukan bola sepak Sarawak kerana disyaki terlibat mengatur perlawanan dalam pertandingan Piala Malaysia.

Khairy berkata siasatan ke atas pasukan yang dikaitkan terbabit dengan unsur rasuah termasuk terhadap skuad Sarawak, adalah permintaan daripada beliau sendiri supaya FAM memainkan peranan penting bagi memastikan gejala tersebut tidak berleluasa.

"Apabila ada antara negeri yang diambil tindakan (disiasat)...mereka perlu beri kerjasama. Kita perlu tegas dengan tindakan yang akan dikenakan...ini bukan soal kita menyalahkan mana-mana pihak.

"Tetapi jika ada laporan yang menyaksikan sesebuah pasukan negeri terlibat dalam rasuah atau bookie atau mengatur perlawanan...saya harap mereka jangan melenting dan menyalahkan FAM," katanya kepada pemberita selepas majlis penajaan Astro kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Semalam, dalam mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM, pengerusinya Tan Sri Aseh Che Mat mendedahkan bahawa selain Perak, Sarawak juga disyaki terlibat mengatur keputusan perlawanan yang menyaksikan skuad Bujang Senang menang besar 6-1 ke atas skuad Seladang, dalam aksi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Negeri pada 21 Sept lepas.

Terkejut dengan dakwaan tersebut, pengurus pasukan Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki menganggap dakwaan FAM itu sebagai melulu dan mahukan penjelasan segera.

Mengulas lanjut, Khairy berkata semua pihak perlu bertindak tegas dalam memerangi rasuah dan siasatan perlu dijalankan jika ada laporan mengenai perkara tersebut.

"Kita mesti siasat...beri peluang kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk buat siasatan tetapi jangan salahkan proses kita (proses yang dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk FAM).

"Kita juga tengok kepada respon orang ramai yang mahukan satu sukan yang bersih daripada gejala rasuah...jadi bila kita ambil tindakan, jangan kata kita jadikan pasukan negeri sebagai mangsa," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment