Monday, October 07, 2013

Intai kegemilangan

Kuala Lumpur: Ramai golongan muda di Malaysia lebih berminat bermain bola sepak malah mereka boleh berlari apabila bermain sepanjang 90 minit tetapi tidak ramai yang mahu menceburkan diri dalam acara larian jarak jauh.

Itu rumusan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz yang menyifatkan proses pencarian atlet berkualiti di Malaysia perlu dilihat kepada minat seseorang.

“ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) memberi fokus kepada pelbagai bidang sukan dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Apabila persoalan sama ada kita mencari pelari maraton ia juga bermakna kita turut bercakap mengenai proses pencarian bakat sukan. Acara larian jarak jauh bukan salah satu kelebihan kerana faktor latar dan pembangunan pelari dalam jangka panjang perlu diambil kira.

“Fakta larian membuktikan pelari Kenya memiliki jenis otot, jantung lebih besar dan kapasiti berlari jarak jauh lebih baik jika dibanding pelari kita. Mereka dibesar dalam altitud lebih tinggi dan berlari ke sana dan ke sini adalah cara hidup mereka. Altitud di Malaysia tidak cukup tinggi berbanding asal-usul atlet maraton Kenya. Ramai pula antara mereka kemudian berhijrah ke luar negara, mendapat biasiswa pengajian tinggi, mendapat tajaan dan berlatih dengan jurulatih bagus.

“Kita jangan sangka mereka berlari turun bukit seperti di padang pasir kerana mereka memiliki sains sukan maraton mencakupi pelbagai aspek yang dibentuk berasaskan fizikal dan kemampuan mereka.

“Apapun kita ada cara sendiri dalam membentuk atlet berdasarkan kemampuan dan potensi atlet kita,” katanya mengulas mengenai sains fisiologi dimiliki pelari jarak jauh Kenya yang menguasai larian maraton antarabangsa termasuk di Kuala Lumpur minggu lalu.
Bagi Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong, proses melahirkan pelari jarak jauh dan sederhana dilaksanakan berterusan dan tidak terhenti pada satu peringkat.

Ia bergantung kepada atlet, sama ada mereka memiliki ketahanan untuk berlari dalam tempoh panjang.
Beliau berkata, ketandusan bakat pelari jarak jauh sekarang memang dirasai sekarang berbanding zaman gemilang lebih 20 tahun lalu.

Katanya, pencarian bakat disiplin itu tetap dilaksanakan menerusi program MSN bersama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

“Saya sendiri berharap kita akan kembali semula ke zaman gemilang kita dalam acara jarak sederhana dan jauh seperti 800 meter (m), 1,500m, 5,000m dan 10,000m. Kita sudah lama rindukan pelari hebat seperti M Ramachandran yang juga jaguh acara 10 kilometer (km) dan 21km yang tiada tandingan dan kita masih mencari pelari berkualiti seperti itu,” katanya.



Oleh ESME JOHARI WAHAB - ARENA HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment