Tuesday, October 29, 2013

Harimau Muda idam hatrik Sukan SEA


Johor Bahru: Pemburuan emas hatrik pada temasya Sukan SEA Myanmar, Disember ini tetap menjadi misi utama skuad Harimau Muda A biarpun sedar tuan rumah bakal memberi ancaman.
Malah kapten Mohd Irfan Fazail tetap optimis kilauan emas mampu dijelmakan walaupun bakal berdepan provokasi dari pasukan tuan rumah.


Dia yang ditemui selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama pemain pertahanan, Mohd Fadhli Mohd Shas untuk beraksi dengan Johor Darul Takzim (DT) pada saingan Liga M musim depan bakal mengambil sikap berwaspada dengan apa jua helah skuad Myanmar.

“Buat masa ini skuad Sukan SEA negara menjalani latihan seperti biasa dan pemain yang baru tamat kempen saingan Piala Malaysia akan melaporkan diri dalam kem latihan.

“Kita sudah bersedia dan sememangnya sasaran utama adalah mengekalkan emas untuk kali ketiga. Semestinya saya mahu menamatkan karier bersama Harimau Muda dengan kejayaan sebelum memulakan langkah selaku pemain profesional bersama Johor DT musim depan,” katanya selepas sesi bertemu peminat di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, kelmarin.

Pada saingan Sukan SEA Jakarta, dua tahun lalu, skuad Harimau Muda menewaskan tuan rumah Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1, mengulangi kejayaan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal yang mencipta kejayaan emas selepas menewaskan Vietnam, 1-0 pada Sukan SEA Laos.

Irfan menambah lagi, Myanmar yang memiliki kelebihan selaku tuan rumah akan menggunakan segala taktik menidakkan impian Malaysia namun itu bukan halangan buat pasukan bimbingan Ong Kim Swee memburunya, sambil mengakui pasukan seperti Singapura, Thailand dan Indonesia turut menurunkan barisan terbaik masing-masing.

“Tiada kejayaan jika kita tidak berusaha dan saya yakin dengan barisan pemain sedia ada serta pengalaman beraksi di luar negara memberi kelebihan buat kita merealisasikan impian ini.”



Oleh Rizar Mohd Noor, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment