Wednesday, October 02, 2013

FAM Nafi Sarawak Juga Disiasat Kerana Rasuah

KUCHING, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Selasa menafikan laporan bahawa pasukan Sarawak akan turut disiasat atas kemungkinan wujud unsur rasuah ketika menang 6-1 ke atas Perak pada 21 Sept lalu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata setakat ini mereka hanya menerima laporan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengenai kemungkinan ada unsur rasuah dalam pasukan itu susulan prestasi buruk Perak dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

"FAM ingin menjelaskan bahawa isu kemungkinan wujudnya unsur rasuah dalam pasukan Sarawak seperti yang disiarkan oleh beberapa media hari ini tidak pernah dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Integriti ke-11 yang diadakan di Putrajaya kelmarin," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau juga menegaskan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat disalah tafsir oleh media.

Media semalam melaporkan Aseh sebagai berkata selain Perak, Sarawak juga disyaki terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan yang menyaksikan skuad itu menang besar ke atas Perak dalam perlawanan di Stadium Negeri berkenaan.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment