Wednesday, October 02, 2013

Chong Wei rehat sebulan

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei akan bercuti dari sebarang kejohanan sepanjang Disember, sekali gus tidak mengambil bahagian dalam Siri Super Final dan Sukan SEA.
Pemain nombor satu dunia itu berkata, rehat sebulan itu amat penting untuk menghadapi tahun paling sibuk 2014.


“Selain tidak menyertai Siri Super Final, saya juga tidak akan menyertai Sukan SEA kerana bukan lagi muda 23 atau 24 tahun, saya mahu berehat sebulan daripada kejohanan untuk melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi saingan tahun depan. Januari nanti ada Seri Super Premier Terbuka Malaysia, Korea dan diikuti Seluruh England,” kata Chong Wei selepas latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Mengakui jadual ketat dengan banyak kejohanan besar sepanjang 2014, Chong Wei berkata: “Jun paling sibuk dengan Terbuka Jepun, Indonesia dan Australia, semuanya bertaraf Siri Super.

FotoCHONG WEI gembira Rashid kembali latih skuad negara.

“Tambahan pula ada tiga kejohanan utama, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Thomas.”

Sementara itu, semalam juga menyaksikan hari pertama Rashid Sidek kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bukan sekadar menamatkan kemelut dan menghentikan kontroversi, sebaliknya menghadirkan keceriaan dan semangat pemain pemain perseorangan negara, Chong Wei, Liew Daren dan Chong Wei Feng.

“Beliau kembali melatih kami semula, sesuatu yang amat bagus, bukan kepada saya saja tapi semua pemain perseorangan kerana kami lebih bersemangat hari ini,” kata Chong Wei.

“Tahun depan banyak kejohanan besar, saya harap kerjasama antara Rashid, Tey Seu Bock dan Hendrawan mampu memperkuatkan lagi pasukan kita di Piala Thomas, Sukan Asia dan Komanwel.”

Rashid pula menafikan berasa janggal apabila kembali bersama skuad negara.

“Saya melatih pemain seperti biasa, fokus terhadap persiapan kejohanan. Apa yang saya lakukan hari ini hanyalah latihan biasa kerana esok (hari ini) pemain mengikuti pertandingan di Terbuka Kuala Lumpur,” katanya.



Oleh Mohd Hilmie Hussin - Arena Harian Metro

No comments:

Post a Comment