Wednesday, October 02, 2013

Cadangan Tubuh Universiti Sukan Masih Dalam Perbincangan - Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan sedang berbincang dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung cadangan menubuhkan sebuah universiti sukan.

Bagaimanapun, Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penubuhan universiti itu bukanlah satu keutamaan memandangkan kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan defisit negara.

"Sebahagian besar atlet tidak dapat mengikuti pengajian tinggi disebabkan kekangan waktu yang bertindih dengan jadual latihan. Idea universiti sukan ini baik untuk memberi kelonggaran dan satu jadual fleksibel kepada atlet.

"Kita ada berbincang dengan GLC supaya ia dibuat dalam bentuk perkongsian sektor awam dan swasta, dan dengan sebuah universiti sukan terkemuka di United Kingdom. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan," katanya menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) pada sesi soal jawab di Parlimen di sini Rabu.

Beliau ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat meneruskan cadangan mewujudkan sebuah universiti sukan untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi dan memperkasa industri sukan.

Khairy berkata pada tahun lepas, industri sukan juga merupakan satu daripada sektor untuk pembangunan negara memandangkan ia menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Terdahulu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) bertanyakan jumlah atlet muda bertaraf dunia yang telah dilahirkan oleh sekolah-sekolah sukan di Malaysia.

Khairy berkata lebih kurang 350 atlet dari sekolah-sekolah sukan telah mewakili negara dalam 18 temasya sukan bermula dari Sukan Komanwel 1998 sehinggalah Sukan Olimpik di London tahun lepas dengan jumlah kutipan pingat 101 emas, 93 (perak) dan 89 (gangsa).

Ia termasuk Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun), Mohd Azizulhasni Awang (basikal) dan Tan Boon Heong (badminton).

"Kementerian percaya penubuhan sebuah lagi sekolah sukan di Gambang, Pahang yang mula beroperasi tahun lepas dapat menempatkan lebih ramai bakal atlet kebangsaan untuk kita gilap bakat mereka ke peringkat antarabangsa," kata Khairy.

Terdahulu, menjawab soalan asal Mohd Fasiah mengenai perancangan kementerian melahirkan atlet negara yang berprestasi tinggi sejak alam persekolahan, Khairy berkata program pencarian bakat telah dan sedang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment